SPAN serbu kilang bancuh simen curi air

Mohd Fazil (kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna SPAN, Shahir Adnan (dua dari kiri) dan Ketua Wilayah Air Selangor Cawangan Klang, Anwar Ahmad Mahmud (tiga dari kiri) meninjau keadaan sambungan paip di kilang berkenaan.
Mohd Fazil (kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna SPAN, Shahir Adnan (dua dari kiri) dan Ketua Wilayah Air Selangor Cawangan Klang, Anwar Ahmad Mahmud (tiga dari kiri) meninjau keadaan sambungan paip di kilang berkenaan.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Sebuah kilang membancuh simen di Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah di sini diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu operasi semalam.

Operasi itu dilaksanakan susulan aduan diterima daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berhubung kes kecurian air melibatkan premis berkenaan.

Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd Fazil Ismail berkata, menerusi operasi diadakan, siasatan awal mendapati terdapat satu sambungan secara terus ke premis berkenaan daripada paip utama milik Air Selangor.

"Sambungan itu menggunakan paip getah bersaiz 25mm (satu sambungan) dan 32mm (dua sambungan).

"Siasatan mendapati sambungan itu menyalurkan bekalan air ke premis berkenaan yang dipercayai buat kegunaan aktiviti di kilang itu," katanya pada sidang akhbar selepas tamat operasi berkenaan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Fazil berkata, ujian klorin yang dijalankan di tapak berkenaan juga mengesahkan bahawa bekalan air yang diterima merupakan air terawat daripada sumber bekalan milik Air Selangor.

Beliau berkata, semakan rekod Air Selangor juga mendapati premis tersebut tidak mempunyai sebarang akaun berdaftar yang sah.

"SPAN akan melakukan siasatan lanjut berhubung kes ini mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, orang ramai juga digesa supaya memberikan kerjasama dan melaporkan kes-kes yang disyaki berkaitan kecurian air kepada Bahagian Penguatkuasaan SPAN di talian 03-83179333 atau menerusi e-mel aduan@span.gov.my.

"Operasi yang dijalankan hari ini diharap dapat meningkatkan kesedaran awam tentang kesalahan kecurian air dan penyambungan tidak sah," katanya.