Ahli politik, lima lelaki didakwa culik Datuk Seri

Kesemua tertuduh di bawa ke mahkamah Majistret hari ini.
Kesemua tertuduh di bawa ke mahkamah Majistret hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang ahli politik bergelar Datuk bersama lima lelaki lain dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan masing-masing berhubung kes culik seorang pemaju hartanah berpangkat Datuk Seri, bulan lalu.

Mereka ialah Datuk K. Ramachandran,50; Azhari Shahrom Shaihmi, 56; Mohd Durai Abdullah, 52; Sheikh Ismail Sheikh Hassan, 26; N. Vickneswarar, 28 dan seorang warga Bangladesh, Kasi Nasrul, 42.

Mengikut pertuduhan, lima tertuduh didakwa menculik ahli perniagaan yang juga pemaju hartanah, Datuk Seri R. Arumugam, 55, dengan niat untuk menahan mangsa bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah SGD50 juta (RM153 juta).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Kejiranan Central Spine, Jalan Margosa, Bandar Sri Damansara, di sini, pada jam 10.30 pagi, 10 Jun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Colek 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan berasingan, Ramachandran, 50 didakwa bersubahat bersama lima tertuduh tersebut dengan niat untuk menahan mangsa tersebut bagi mendapatkan wang tebusan dengan nilai serupa, di tempat dan masa sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 3 Akta Colek yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret, Mohd Ikhwan Mohd Nasir. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid.

Artikel Berkaitan:

Ketika prosiding pendakwaan, Ramachandran yang diwakili peguam, R. Sivaraj dan memohon supaya diberi rawatan berhubung masalah hipertensi.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 27 Ogos depan untuk serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan satu mayat yang sudah reput ditemukan dalam kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang Bestari, Rawang pada 27 Jun lalu dipercayai selepas 18 hari diculik.

Mangsa dipercayai diculik ketika berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 10.30 pagi, 10 Jun lalu.

Suspek kemudian didakwa meminta wang tebusan berjumlah RM153 juta.

Polis mengesahkan motif penculikan adalah wang dan dipercayai ada kaitan dengan hutang perniagaan.

Setakat ini, polis menahan 11 orang suspek berusia antara 20 hingga 56 tahun berhubung kes berkenaan termasuk dalang utama.