Empat kamera Awas dipasang di Terowong Menora

Shaharuddin (kiri) melihat penggunaan alat timbang mudah alih yang diterima JPJ untuk digunakan UPLR.
Shaharuddin (kiri) melihat penggunaan alat timbang mudah alih yang diterima JPJ untuk digunakan UPLR.
A
A
A

IPOH - Empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) akan dipasang di Terowong Menora, Lebuhraya Utara Selatan pada penghujung tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, kamera tersebut akan dipasang di kedua-dua laluan dengan kadar kelajuan dihadkan kepada 70 kilometer sejam (km/j).

“Terowong Menora ini tempat yang agak ‘panas’ sering berlaku kemalangan terutama yang melibatkan kenderaan berat.

“Kita berada di fasa akhir, semua sudah ditetapkan di mana pemasangan kamera berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), manakala kementerian meluluskan had laju kepada 70km/j berbanding had sepanjang lebuh raya iaitu 110km/j.

“Dengan ada pemasangan kamera, ianya menjadi elemen pencegahan dan kita akan pantau sepenuhnya,” katanya pada sidang media sempena lawatannya ke Stesen Penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Lebuhraya (UPLR) JPJ Malaysia Jelapang di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Zamakhshari Hanipah; Timbalan Pengarah Penguatkuasa Dasar dan Perancangan Strategik, Datuk Ahmad Nasir Abdul Gani; Pengarah JPJ Perak, Severinus Tukah dan Ketua Kecemerlangan Operasi Plus Malaysia Berhad, Mohd Yusof Abd Aziz.

Dalam perkembangan lain, Shaharuddin berkata, Pusat Kawalan Penguatkuasaan Lebuhraya yang beroperasi sejak 1 Julai lalu berfungsi dalam mengawal selia segala aktiviti UPLR di zon tengah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, zon utara (R&R Gunung Semanggol), zon timur (R&R Paka) dan R&R Pagoh bagi zon selatan.

“Fungsi utama UPLR adalah untuk meningkatkan persepsi ‘kena tangkap’ dalam kalangan pengguna dengan memfokuskan isu penguatkuasaan peraturan lalu lintas selain pemantauan kenderaan perdagangan.

Artikel Berkaitan:

“Kewujudan stesen itu juga membolehkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan JPJ seperti menerima aduan awam, semakan saman JPJ dan senarai hitam,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, empat kamera itu disumbangkan kepada JPJ dapat membantu melaksanakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

“Pihak Plus ada dua fokus iaitu penguatkuasaan dan pendidikan. Kita nak mendidik pengguna lebih berdisiplin dalam mengendalikan kenderaan masing-masing ketika di lebuh raya supaya lebih selamat.

“Di sini (Terowong Menora) merupakan lokasi panas dengan kawasan berbukit yang berbahaya terutama kenderaan berat. Dengan adanya UPLR dan kamera, seperti Slim River data menunjukkan penurunan (kemalangan),” katanya.