Tipu pelaburan lebih RM85 juta, Datuk didakwa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas perunding sebuah syarikat kewangan berpangkat Datuk, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan memperdayakan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), berhubung skim pelaburan berjumlah RM85,530,000.

Ahmad Azwan Aboo Mansor, 50, membuat pengakuan tersebut, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Ahmad Azwan didakwa telah menipu MyIPO dengan memperdayakan pegawai kanan syarikat tersebut supaya membuat pelaburan ke dalam skim yang bernama BIMB i-Fund (Money Market Instrument/ Fixed Deposit), yang menjanjikan pulangan sebanyak enam peratus setahun sedangkan sebenarnya skim tersebut adalah BIMB i-Dividen Fund, yang merupakan pelaburan Unit Amanah.

Oleh itu tertuduh dengan curangnya telah mendorong MyIPO untuk menyerahkan wang berjumlah RM85,530,000 untuk dilaburkan ke dalam akaun BIMB, yang didaftarkan atas nama BIMB Investment Management Berhad (i Dividend), yang mana MyIPO tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Ixora, MyIPO, Aras 19, Tower B, Menara UOA, Bangsar, di sini, pada 10 pagi, 25 November lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, serta dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Tertuduh turut tidak mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan, iaitu memalsukan kertas pembentangan bertajuk BIMB i-Fund (Money Market Instrument/ Fixed Deposit), dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan hendak menipu, yang menyebabkan kerugian RM85,530,000.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali menawarkan jaminan RM1 juta dengan dua orang penjamin, serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, juga melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah jaminan RM1 juta adalah munasabah untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah, kerana nilai yang terlibat adalah amat tinggi... Jumlah itu juga sesuai untuk mahkamah mengambil kira, kerana ia suatu pertuduhan yang serius,” katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader memohon jaminan rendah, atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan tiga anaknya masih bersekolah.

“Sebelum ini, tertuduh adalah ejen berdaftar dengan Bank Islam dan kini beliau tidak bekerja. Akaun bank tertuduh telah dibekukan termasuk kereta...Sekarang hanya menggunakan kereta Myvi milik abangnya. Ini adalah amaun pelaburan (RM85,530,000) bukan amaun yang disonglap. Ini bukan amaun yang masuk ke dalam akaun tertuduh dan amaun ini tidak boleh dijadikan sandaran untuk jumlah jaminan,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM700,000 dengan dua orang penjamin dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, dan 28 Ogos ditetapkan untuk sebutan semula kes. - Bernama