X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya pelajar Tingkatan 4, 6 semester satu kembali ke sekolah 15 Julai ini

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
A
A

PUTRAJAYA - Hanya pelajar Tingkatan 4 dan 6 semester satu yang bersekolah di sekolah berasrama bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan kembali bersekolah pada 15 Julai ini.

KPM dalam kenyataannya berkata, manakala pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 yang bersekolah di sekolah berasrama akan memulakan persekolahan pada 3 Ogos.

"Pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 akan meneruskan pembelajaran berasaskan home-based learning sehingga mereka kembali semula ke sekolah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembukaan sekolah berasrama ikut kapasiti

Menurutnya, keputusan tersebut terpakai bagi Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM).

"Penambahbaikan ini telah dimasukkan sebagai tambahan kepada Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah dan telah diluluskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bilangan 60 Tahun 2020 hari ini," katanya.

Kementerian itu berkata, pihaknya mengambil maklum akan pertanyaan ibu bapa berhubung kebenaran untuk pelajar pulang ke rumah sempena Hari Raya Aidiladha.

"Dengan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard sedia ada, KPM tiada halangan membenarkan pelajar pulang ke rumah untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa pembukaan semula sekolah bagi murid bukan kelas peperiksaan awam dilakukan secara berperingkat mulai 15 Julai.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus