KPDNHEP sita 5,458 kampit baja bersubsidi

Rae Morn (tiga dari kanan) menunjukkan baja yang disita ketika serbuan di gudang berkenaan semalam.
Rae Morn (tiga dari kanan) menunjukkan baja yang disita ketika serbuan di gudang berkenaan semalam.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah menyita 5,458 kampit baja urea dan baja sebatian bersubsidi yang disimpan secara haram di sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Kubang Jelai, Tokai di sini semalam.

Pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, serbuan dijalankan pada jam 12.28 tengah hari selepas pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu di kawasan terbabit.

Menurutnya, ketika serbuan terdapat dua orang pekerja tempatan berusia sekitar 30-an sedang sibuk membungkus semula baja yang telah dibeli daripada pesawah.

"Pemeriksaan lanjut menemui 255 kampit baja sebatian 20kg, 420 kampit baja sebatian 25kg, 4,423 kampit baja urea 20kg dan 360 kampit baja urea 50kg yang keseluruhannya bernilai RM133,760," katanya ketika sidang akhbar di stor KPDNHEP di sini hari ini.

Sebahagian baja yang telah dibungkus semula sebelum dijual dengan harga RM100 setiap 50kg.
Sebahagian baja yang telah dibungkus semula sebelum dijual dengan harga RM100 setiap 50kg.

Beliau berkata, kesemua baja itu dibeli oleh sindiket berkenaan dengan harga RM20 sekampit daripada pesawah di kawasan sekitar.

"Mereka kemudiannya akan membungkus semula baja-baja itu dalam bungkusan 50kg dan dijual dengan harga RM100 sekampit dalam pasaran tempatan.

"Bagaimanapun kita akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti dari mana mereka mendapatkan bekalan baja ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya telah menahan kedua-dua pekerja tersebut dan pemilik gudang bagi membantu siasatan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 196. Jika sabit kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali bagi individu.

"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun ataupun kedua-dua sekali.

"Bagi syarikat atau pertubuhan hukuman denda tidak melebihi RM2 juta dan tidak melebihi RM5 juta untuk kesalahan seterusnya," katanya.