X

Kindly register in order to view this article
!

Datuk didakwa tipu MyIPO RM85 juta

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang perunding sebuah institusi kewangan berpangkat Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan memperdaya pegawai kanannya supaya membuat pelaburan sebanyak RM85 juta pada tahun 2015.

Ahmad Azwan Aboo Mansoor, 50, yang hadir dengan memakai sut hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Azwan didakwa memperdayakan pegawai berkenaan supaya membuat pelaburan ke dalam skim BIMB i Fund (Money Market Instrument/ Fixed Deposit) yang menjanjikan pulangan enam peratus sedangkan skim itu adalah BIMB i Deviden Fund yang merupakan pelaburan Unit Amanah.

Tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong MyIPO untuk menyerahkan RM85,530,00 untuk dilaburkan dalam akaun BIMB yang didaftarkan atas nama BIMB Investment Management Berhad (i Dividend) yang mana MyIPO tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, dia juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu memalsukan kertas pembentangan bertajuk BIMB i-Fund (Money Market Instrument/ Fixed Deposite) dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan menipu yang mana menyebabkan kerugian sebanyak jumlah yang sama.

Bagi pertuduhan ini, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Ixora MyIPO di Bangsar pada jam 10 pagi, 25 November 2015.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd ‘Afif Ali mencadangkan agar tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM1 juta.

“Ia adalah kadar yang munasabah kerana tertuduh berdepan dengan pertuduhan yang tidak boleh dijamin malah melibatkan nilai puluhan juta ringgit.

“Mahkamah juga boleh meletakkan syarat tambahan seperti menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis atau pejabat SPRM sebulan sekali,” katanya.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Ardy Suffin merayu agar anak guamnya diberi kadar jaminan yang lebih rendah kerana harta termasuk kereta dan akaun banknya dibekukan oleh SPRM sejak kes itu disiasat pada tahun 2015.

Mahkamah menetapkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM700,000 dengan dua penjamin malah pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Mahkamah juga menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus