X

Kindly register in order to view this article
!

TH catat pendapatan pelaburan RM1.55 bilion

Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Kuala Lumpur.
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM1.55 bilion dalam tempoh setengah tahun pertama 2020 dan turut disokong oleh pelaburan di pasaran sukuk dan saham.

TH dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelaburan aset pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM1 bilion iaitu 65 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan TH bagi tempoh Januari sehingga 30 Jun 2020.

Menurut kenyataan itu, pelaburan hartanah menjana pendapatan sebanyak RM204.57 juta, manakala pelaburan instrumen pasaran wang Islam menyumbang sebanyak RM187.13 juta dan RM150.27 juta pula daripada pelaburan ekuiti.

"Peningkatan pendapatan ini menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh enam bulan yang sama pada tahun lalu.

"Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion pada 30 Jun lalu," kata kenyataan itu.

Selain itu, TH juga memaklumkan sedang membuat persediaan untuk menghadapi pengurusan ibadah haji yang lebih rumit pada tahun hadapan, berikutan penangguhan haji pada musim 1441H/2020.

"Ini termasuk menangani cabaran-cabaran baharu seperti penyampaian perkhidmatan yang mengambil kira situasi wabak koronavirus (Covid-19)," kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan sama, penularan wabak Covid-19 pada awal tahun ini, memberi impak yang ketara terhadap ekonomi dan pasaran kewangan dunia termasuk ekonomi dan pasaran kewangan tempatan ekoran harga minyak mentah yang rendah dan kemelut perang perdagangan antara ekonomi besar dunia.

"Sebagai sebuah institusi pengurusan haji dan pelaburan yang aktif di pasaran kewangan, TH turut terkesan dengan impak wabak Covid-19 berikutan langkah pengawalan penularan jangkitan koronavirus.

"Namun keadaan pasaran kewangan beransur pulih apabila aktiviti ekonomi dibenarkan semula bersama langkah-langkah menerusi pelan rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, pasaran saham tempatan Bursa Malaysia yang jatuh lebih 23 peratus semasa kemuncak wabak Covid-19 telah kembali meningkat hampir kepada paras asal.

Beliau berkata, Indeks utama FBM KLCI ditutup pada paras 1,500.97 mata pada 30 Jun 2020 dan hanya melibatkan perbezaan 5.5 peratus dari 1,588.76 mata pada 31 Disember 2019.

Namun katanya, itu tidak bermakna tekanan ke atas prestasi dan penilaian aset-aset TH seperti di dalam sektor hartanah telah berkurangan.

Menurutnya, impak besar dari wabak Covid-19 ke atas ekonomi dunia dan negara adalah menjadi cabaran yang paling utama bagi TH dalam menguruskan pelaburannya demi melindungi kepentingan pendeposit.

"Kami juga telah mengambil langkah untuk mengenal pasti kesan Covid-19 ke atas pelaburan melalui pemantauan berkala.

"Dari segi operasi pula TH perlu menjadi lebih efisyen dengan menambah baik perkhidmatan dan mengurangkan kos,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nik Mohd Hasyudeen berkata, pihaknya yakin wabak Covid-19 akan berakhir dan TH terus bekerja keras untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada para pendeposit dalam apa jua keadaan.

"Melangkah ke hadapan, perkhidmatan digital akan menjadi fokus utama TH memandangkan sebahagian besar pendeposit kami adalah terdiri daripada golongan celik teknologi.

"Kepercayaan dan sokongan para pendeposit kepada TH kekal utuh dengan jumlah deposit sebanyak RM73.86 bilion pada 30 Jun 2020 berbanding RM69.42 bilion pada 31 Disember 2019. Malah pada tempoh sama, lebih 123,000 akaun simpanan baharu telah dibuka," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus