IWK tawar perkhidmatan pengosongan perangkap FOG

Narendran (lima dari kanan) bersama Tuan Ibrahim (dua dari kanan) meninjau operasi perkhidmatan pengosongan sistem perangkap FOG pada majlis pelancaran perkhidmatan itu di Kementerian Alam Sekitar dan Air, Putrajaya semalam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Narendran (lima dari kanan) bersama Tuan Ibrahim (dua dari kanan) meninjau operasi perkhidmatan pengosongan sistem perangkap FOG pada majlis pelancaran perkhidmatan itu di Kementerian Alam Sekitar dan Air, Putrajaya semalam. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PUTRAJAYA - Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengembangkan perkhidmatannya yang baharu dengan menawarkan pengosongan sistem perangkap lemak, minyak dan gris (FOG) kepada pemilik premis makanan, pengusaha restoran, kedai makan serta operator medan selera.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Narendran Maniam berkata, pemilik premis makanan perlu membuat pengosongan sistem perangkap FOG secara berskala dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu sekali.

Menurutnya, caj yang dikenakan bagi perkhidmatan tersebut adalah pada kadar kompetitif iaitu RM150 bagi 1,000 liter FOG.

“Sekiranya (sistem perangkap FOG) tidak diselenggara, ia akan memasuki paip pembetungan menyebabkan tersumbat sebelum mengeras dan menyebabkan limpahan keluar,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pengosongan Sistem FOG oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Hadir sama, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhamad dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Narendran berkata, FOG yang dikutip dari premis makanan akan dihantar ke loji pemprosesan IWK bagi menghasilkan tenaga diperbaharui dalam biogas.

“Kami juga sedang membangunkan usaha untuk menukar bahan-bahan ini kepada biodiesel.

Artikel Berkaitan:

“Inilah yang kita lakukan berbanding dengan kontraktor lain yang dibimbangi akan melupuskan sisa di lokasi haram,” katanya.

Narendran berkata, amalan pengurusan FOG yang baik sememangnya dapat membantu IWK dari segi mengelakkan peningkatan kos penyelenggaraan.

“Kami perlu sentiasa membersihkan saliran pembetungan yang dicemari bahan FOG,” kata beliau.

Menurutnya, IWK mempunyai 124 pasukan, 141 lori tangki dan 111 loji rawatan kumbahan dengan fasiliti Sludge Drying Bed dan Geobag atau Anaerobic Digester yang mampu merawat FOG.

“Kesemua lori tangki kami dilengkapkan dengan sistem pemantauan kenderaan untuk memantau dan mengawal pergerakan lori tangki,” katanya.

Beliau berkata, kepakaran dan kesediaan fasiliti loji IWK bukan sahaja dapat menawarkan perkhidmatan pengosongan FOG, malah boleh melakukan pelupusan yang lebih sistematik dan selamat kepada alam sekitar.

“Ini adalah inisiatif selaras dengan matlamat pembangunan mampan untuk meningkatkan kualiti alam sekitar dengan mengurangkan pencemaran, menghapus pelupusan haram dan mengurangkan pelepasan bahan serta kimia merbahaya,” katanya.

Dalam pada itu, Narendran menyeru kepada kontraktor sedia ada untuk bekerjasama dengan IWK dalam menangani masalah pencemaran dengan menyediakan perkhidmatan menyahenap cemar FOG dengan baik dalam usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar.