Abu Bakar Bashir tolak pembebasan bersyarat

Abu Bakar Bashir
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Jurucakap Abu Bakar Bashir berkata ulama itu memilih untuk bertahan di penjara dan menolak pembebasan bersyarat.

Achmad Michdan berkata, pembebasan bersyarat sudah diperolehi kliennya sejak 13 Disember lalu, namun Abu Bakar tetap dengan pendirian untuk menolaknya.

"Mahu ditahan semula esok, lusa atau pada bila-bila masa...tidak ada masalah buat beliau," kata Achmad.

Abu Bakar, 81, dibebaskan dari Penjara Gunung Sindur di Bogor pada Khamis lalu, dengan perkenan Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Tidak dapat dipastikan sama ada Jokowi memberi pengampunan atau pembebasan bersyarat.

Alasan disebalik pembebasan itu adalah faktor umur dan kesihatan.

Namun, Jumaat lalu, anak ulama itu, Abdul Rahim berkata, keluarganya menerima berita daripada peguam menyatakan presiden memberi pengampunan kepada bapanya.

Abu Bakar adalah pemimpin agung pertubuhan Jamaah Ansharut Tauhid (JAT).

Beliau dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara oleh Mahkamah Daerah Jakarta pada 2011 selepas didapati bersalah membiayai kem latihan militan untuk pengganas di Aceh.

Beliau juga didapati bersalah terbabit dalam pengeboman Bali 2002 yang membunuh lebih 200 orang, kebanyakannya adalah warga asing.

Daripada jumlah tersebut, 88 orang adalah rakyat Australia.

Bagaimanapun, pada 2006, Mahkamah Agung menerima petisyen rayuan kesnya dan Abu Bakar dibebaskan daripada semua tuduhan.

Keputusan Jokowi itu dibuat beberapa bulan sebelum pilihan raya presiden April depan, mencetuskan spekulasi ia bermotifkan politik.

Namun semalam, Jokowi meminta pegawainya untuk mengkaji semula pembebasan Abu Bakar dari segenap aspek berikutan kritikan domestik dan antarabangsa.

Ia dibuat selepas mendapat campur tangan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison.

Abu Bakar sebelum ini dianggap tidak memenuhi syarat untuk pembebasan parol di atas penolakannya untuk meninggalkan kepercayaan radikal. - Agensi