'Calon PM patut dari mulut Presiden UMNO, bukan SU BN'

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menyarankan sebarang pengumuman berkaitan dasar parti, termasuk pencalonan Perdana Menteri perlu melalui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

Justeru, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN) perlu menghormati semangat Muafakat Nasional dan tidak terheret dalam isu calon Perdana Menteri.

Katanya, ahli UMNO juga hanya boleh mengguna pakai kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden sahaja termasuk mengenai dasar parti dan PN.

“Bukannya Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) atau UMNO. Pemimpin Pas juga diharap menghormati spirit (semangat) Muafakat Nasional," katanya seperti dilapor Malaysiakini malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tolak tepi bincang isu calon Perdana Menteri

Ahli Parlimen UMNO diarah pertahan kerajaan PN

Beliau menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid itu 'nampak berbeza' berbanding kenyataan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menurutnya datang daripada 'individu tertentu' dan bukan daripada Presiden UMNO.

Sedangkan, katanya, pendirian 'individu tertentu' itu tidak pernah sepakat dengan UMNO.

Oleh sebab itu katanya, selepas kenyataan mengenai calon Perdana Menteri itu dilaporkan, pelbagai reaksi panas daripada beberapa ketua bahagian, termasuk daripada Tengku Razaleigh Hamzeigh yang merupakan pemimpin paling veteran dalam UMNO ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, apabila Presiden UMNO membuat kenyataan rasmi bahawa isu jawatan Perdana Menteri jangan dijadikan polemik, maka ia meredakan keadaan.

“Sekurang-kurangnya kita maklum bahawa kenyataan awal sebelumnya bukan datang dari Presiden UMNO. Ia bukan keutamaan dan tidak pernah disepakati dalam UMNO,” katanya lagi.

Sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri itu disuarakan oleh Tan Sri Annuar Musa sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Setiausaha Agung BN yang juga Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional.

Perkara itu kemudiannya disokong Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun pendirian tersebut mengundang reaksi kurang senang oleh beberapa pemimpin dan veteran UMNO, termasuk Mohd Fuad sendiri, Tengku Razaleigh, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden dan veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Susulan itu, Ahmad Zahid kelmarin mengeluarkan kenyataan agar parti itu tidak terheret sama dalam polemik perbahasan mengenai calon Perdana Menteri.

Ahmad Zahid sebaliknya meminta pemimpin parti berkenaan memberikan tumpuan kepada usaha untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

Dalam pada itu, Annuar turut memberi kenyataan yang sedikit berbeza daripada kenyataannya yang terdahulu bahawa UMNO dan Pas dalam gabungan Muafakat Nasional akan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika pilihan raya diadakan secara mengejut.

Bagaimanapun, untuk masa yang 'jauh ke depan', kata Annuar, beliau sendiri tidak ada jawapannya.