Tetapkan harga siling durian di peringkat pekebun

Ahmad (kiri) menyusun buah durian yang dijual di gerainya di bandar Kuantan.
Ahmad (kiri) menyusun buah durian yang dijual di gerainya di bandar Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Pemborong durian dan peniaga di negeri ini tidak bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) supaya kerajaan menetapkan harga siling buah durian klon mengikut gred.

Pemborong durian, Zulkifli Mahmood, 45, berkata, harga siling durian perlu ditetapkan di peringkat pekebun atau pengeluar buah durian bukannya pada pemborong dan peniaga.

Menurutnya, sekiranya kawalan harga sudah dilaksanakan pada peringkat pekebun sudah pasti pemborong dan peniaga tidak meletakkan harga yang tinggi.

"Kita sebagai pemborong dan penjual tidak akan menaikkan harga sehingga tiga kali ganda sebab pekebun sudah menawarkan harga siling yang munasabah.

"Jadi jangan salahkan pemborong dan penjual yang dikatakan menjual harga mahal kerana semua kenaikan berpunca daripada pengeluar dan pekebun durian," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sekitar bandar Kuantan hari ini.

Semalam, Presiden PPMM, Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan dalam satu kenyataan mahu kerajaan campur tangan memperkenalkan harga siling buah durian klon mengikut gred.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah sampai masa kerajaan campur tangan isu harga durian

Dalam pada itu, penjual durian, Ahmad Mustafar, 39, berkata, kenaikan harga durian jenis kampung dan klon tahun ini berlaku bermula di peringkat pekebun yang menjual pada harga lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan penjual terpaksa menaikkan harga durian bagi menampung pelbagai kos dan kenaikan itu bukan berlaku setiap tahun.

"Sebagai pemborong dan peniaga durian, saya tidak setuju penetapan harga siling durian kerana tindakan ini seolah-olah menutup rezeki pekebun Melayu di kawasan kampung tradisional yang terdiri daripada warga emas," katanya.

Bagaimanapun Ahmad mencadangkan agar pemantauan harga perlu dilakukan di peringkat ladang kerana pekebun yang mula bertindak menaikkan harga berikutan permintaan tinggi.

Sementara itu, pekebun, Rahman Selasih, 60, berkata, musim kali ini durian jenis kampung dan klon banyak dijual.

"Saya mempunyai 39 pokok durian klon D24, D169, D158, D123, D2, D8 dan D10 di kawasan kebun seluas 1.5 hektar di Kampung Beserah.

"Rezeki saya kali ini bertambah apabila harga durian agak memuaskan dan saya mampu meraih pendapatan lebih RM13,000 hasil jualan durian," katanya.

Katanya, dia juga tidak bersetuju sekiranya kerajaan meletakkan harga siling durian.

"Tindakan ini seperti cuba menutup pintu rezeki pekebun Melayu yang mengusahakan kebun sekangkang kera," katanya.