LPP galak ahli tanam durian

Nik Muhammad Zawawi (dua dari kanan) melihat produk berasaskan durian yang dijadikan aiskrim.
Nik Muhammad Zawawi (dua dari kanan) melihat produk berasaskan durian yang dijadikan aiskrim.
A
A
A

JELEBU - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menggalakkan ahli menanam durian bagi menjana pendapatan dan kekayaan menerusi tanaman itu berikutan durian adalah sumber kekayaan baharu negara.

Pengerusinya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, LPP melalui Pertubuhan Peladang akan membantu ahlinya dalam pembangunan industri durian.

“Durian dianggap sebagai produk premium kerana mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat negara ini dan juga pengunjung dari luar negara.

“Kelazatan kualiti dan khasiat durian yang tinggi di negara ini telah membuka pasaran di luar negara terutamanya di China,” katanya pada Program Sehari di Dusun Durian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jelebu di Sungai Muntoh, Titi di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah LPP, Azulita Salim.

Nik Muhammad Zawawi (kanan) dan Azulita menunjukan durian yang dibuka menggunakan alat Ezkupeh.
Nik Muhammad Zawawi (kanan) dan Azulita menunjukan durian yang dibuka menggunakan alat Ezkupeh.

Nik Muhammad Zawawi berkata, durian mampu mendatangkan sumber ekonomi yang menguntungkan berikutan banyak pihak terbabit seperti pembekal benih, pembekal baja, pemasaran dan produk berasaskan durian.

“Di samping menggalakkan peladang menjana pendapatan dan kekayaan melalui tanaman durian, LPP juga secara tidak langsung ingin mempromosikan industri kulinari kepada ahli peladang seperti yang disaran oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Artikel Berkaitan:

“Buah durian boleh dimasak menjadi lempok, jem dan tempoyak. Buah durian juga boleh diproses dijadikan serbuk, kek, pastri dan pelbagai lagi menu berasaskan durian,” kata beliau.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, durian Jelebu adalah antara yang menjadi pilihan dan rebutan bagi penggemar durian.

“Di Negeri Sembilan, keseluruhan keluasan dusun durian adalah 2,378 hektar manakala dusun durian di daerah Jelebu adalah seluas 287 hektar.

“Terdapat pelbagai variati durian di daerah ini seperti durian kampung, duri hitam, musang king, kunyit, XO, D24 dan udang merah,” katanya.

Terdahulu, dalam program tersebut, LPP juga menggalakkan masyarakat setempat menghasilkan menu baharu dan pelbagai jenis produk hiliran berasaskan durian agar durian menjadi potensi kepada kekayaan negara untuk dijual kepada pelanggan dari dalam dan luar negara.