Arab Saudi calonkan Mohammed Al-Tuwaijri ketuai WTO

Mohammed Al-Tuwaijri
Mohammed Al-Tuwaijri
A
A
A

RIYADH - Arab Saudi melantik Penasihat Diraja, Mohammed Al-Tuwaijri sebagai calon untuk mengetuai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada Rabu lalu, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Dalam satu memorandum kepada WTO, negara beraja itu menegaskan keyakinannya dalam sistem perdagangan pelbagai negara dan peranan pertubuhan itu dalam sistem tersebut.

Dokumen WTO menunjukkan pencalonan Mohamed Al-Tuwaijri telah diterima oleh pertubuhan itu.

"Komunikasi susulan mencalonkan Mohammad Al-Tuwaijri untuk kedudukan ketua pengarah telah diterima daripada delegasi negara beraja Arab Saudi pada 8 Julai 2020," menurut dokumen WHO.

Mohammed Al-Tuwaijri merupakan Menteri Perancangan dan Ekonomi dari November 2017 hingga Mac 2020 apabila beliau dilantik menjadi penasihat diraja.

Beliau juga pernah menjadi Lembaga Pengarah Saudi Aramco, Saudi Railways Co. dan Saudi Arabian Airlines.

Ketua Pengarah WTO sebelum ini, Roberto Azevêdo mengosongkan jawatan itu pada 31 Ogos tahun ini.

Mohammed Al-Tuwaijri merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang aeronautik pada tahun 1980 dari Akademi Udara Raja Faisal dan sarjana pentadbiran perniagaan pengkhususan dalam bidang kewangan dari Universiti Raja Saud.

Artikel Berkaitan:

Memulakan kerjaya pada tahun 1988 sebagai juruterbang dalam Tentera Udara Diraja Arab Saudi, beliau menyertai Perang Teluk pada tahun 1991 dan memenangi pelbagai medal berikutan perkhidmatannya.

Mohammed Al-Tuwaijri meninggalkan Tentera Udara Diraja Arab Saudi pada tahun 1993 dan melibatkan diri dalam sektor perbankan.

Beliau menyertai Bank Saudi British pada tahun 1995 sebagai ketua pengurusan risiko.

Dari tahun 2007 hingga 2010, Mohammed Al-Tuwaijri merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) J.P. Morgan Arab Saudi dan berpindah ke HSBC serta memegang pelbagai jawatan antaranya CEO perbankan global dan pasaran, ketua wilayah dan perkhidmatan pengurusan, naib presiden kumpulan dan CEO HSBC MENA dan Turki.

Beliau dilantik menjadi timbalan menteri di Kementerian Ekonomi dan Perancangan pada 2016 sebelum menjadi menteri pada tahun berikutnya.

Mohammed Al-Tuwaijri juga merupakan Setiausaha Agung Jawatankuasa Kewangan Mahkamah Diraja dan Pengerusi Pusat Kebangsaan Untuk Penswastaan, Pihak Berkuasa Awam Statistik dan Pusat Pembangunan Strategi. - Agensi