Jangan pindah milik lesen perniagaan kepada warga asing

Raja Norazli Raja Nordin
Raja Norazli Raja Nordin
A
A
A

JEMPOL - Peniaga di daerah ini diingatkan agar tidak menyalahgunakan lesen perniagaan dengan menyewakan atau pindah milik lesen berkenaan kepada warga asing.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Raja Norazli Raja Nordin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk membatalkan lesen perniagaan jika terdapat peniaga yang berbuat demikian.

"Ini selaras dengan polisi MPJL iaitu tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing.

"Polisi yang diamalkan sejak dahulu itu masih dikekalkan bagi membolehkan penduduk tempatan diberi keutamaan dalam menjalankan aktiviti perniagaan sama ada di premis milik MPJL atau milik mereka sendiri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila terdapat beberapa individu dikesan memberikan maklumat mengelirukan termasuk menggunakan nama pasangan warganegara bagi memohon lesen perniagaan.

"Lesen perniagaan tidak akan dikeluarkan kepada mereka yang bertaraf penduduk tetap termasuk warga asing yang berkahwin dengan penduduk tempatan sama ada suami atau isteri.

"Kita akan meneliti setiap permohonan bagi memastikan hanya mereka yang layak sahaja mendapat lesen perniagaan," katanya.

Raja Norazli berkata, orang ramai disaran hadir awal ke pejabat MPJL untuk pembaharuan lesen perniagaan bagi tahun 2021 yang bermula 16 November hingga 31 Disember 2020 untuk mengelakkan kesesakan.

Artikel Berkaitan:

"Denda minimum 10 kali ganda kadar lesen tahunan atau RM2,000 mengikut Seksyen 3(ii) Bayaran Denda Lewat (Lesen) MDJL 2012 akan dikenakan sekiranya gagal memperbaharui lesen pada tarikh yang ditetapkan," katanya.