Harap PAFA tawarkan Khalid pekerjaan tetap

No Image Caption
A
A
A

BEKAS penolong jurulatih Perak, Zakaria Mohamed berharap kerajaan Perak mahupun Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menawarkan pekerjaan yang sesuai kepada bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus.

Justeru, Zakaria berkata, kerajaan negeri serta PAFA yang diterajui Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu harus mengadakan pertemuan dengan Khalid dalam masa terdekat bagi membincangkan bantuan yang boleh dihulurkan kepada bekas penyerang berbisa Perak itu.

“Bagi saya, memang kerajaan negeri atau PAFA perlu membantu Khalid yang sedang dalam kesempitan hidup ketika ini. Bantuan berkenaan juga diharap dapat membantu Khalid untuk tempoh masa panjang.

“Kerajaan negeri mungkin boleh menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan Khalid atau mungkin jika ada pihak yang mahu menjadikannya sebagai jurulatih bola sepak, boleh berbuat demikian kerana Khalid memiliki Lesen B (kejurulatihan),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Zakaria memberitahu, dia dapat ‘menghidu’ masalah yang dihadapi bekas anak buahnya itu apabila Khalid mula bertindak menjual pelbagai barangan berharga seperti medal, jersi, poster termasuk Kasut Emas di laman sosial Facebook sejak beberapa bulan lalu.

“Sebenarnya saya memang follow Khalid dan saya dapati memang dia hidup dalam kesusahan. Sebelum ini, Khalid ada kerja tetap dengan menjadi penolong jurulatih PDRM, duta minuman dan pada musim Covid-19 ini, saya lihat dia mula jual barang-barang peribadinya.

“Hampir setiap malam dia buat live di Facebook. Kasihan saya tengok dia, Kasut Emas (yang dimenanginya pada 2002) dah ada orang bida, mulanya tak jadi sebab dia sayang tetapi akhirnya terpaksa dilepaskan.

“Jadi saya harap agar pihak yang berkenaan dapat membantu bagi memastikan Khalid dapat meneruskan kehidupannya semula seperti biasa selepas ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: