Tiada obor-obor di Pantai Puteri

Noor Azman (kanan) ketika meninjau Pantai Puteri semalam.
Noor Azman (kanan) ketika meninjau Pantai Puteri semalam.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan menafikan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang mengatakan Pantai Puteri diserang obor-obor dan tidak selamat dikunjungi.

Menurutnya, Pantai Puteri selamat dikunjungi dan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita tidak benar di Facebook sejak minggu lalu telah menjejaskan pendapatan peniaga tempatan termasuk nelayan.

Bagaimanapun, Noor Azman berkata, beliau tidak menafikan terdapat ampai-ampai yang kebiasaannya muncul ketika angin monsun selatan seperti sekarang ini, namun tidak membahayakan pengunjung.

"Kebiasaannya sesiapa yang mudah alergi dan terkena ampai-ampai ini akan berasa sakit. Mereka boleh mendapatkan rawatan di hospital atau klinik namun tidaklah sehingga mendatangkan kemudaratan.

"Kawasan pantai ini selamat untuk dikunjungi dan pengunjung boleh melakukan aktiviti bersama keluarga tanpa perlu rasa bimbang," katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa meninjau Pantai Puteri di sini semalam.

Azmi menunjukkan berita yang tidak benar ditularkan dalam Facebook sejak minggu lalu.
Azmi menunjukkan berita yang tidak benar ditularkan dalam Facebook sejak minggu lalu.

Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap individu yang menyebarkan berita tidak benar itu.

Sementara itu, Ketua Nelayan Pantai Kundor dan Pantai Rombang, Azmi Leman,45, berkata, beliau juga terkilan dengan penyebaran berita tidak benar itu.

Artikel Berkaitan:

"Memang ampai-ampai itu ada, tapi bukan mudah hendak jumpa, mungkin kalau jumpa ia mungkin satu kebetulan.

"Disebabkan berita yang tidak betul ini, nelayan terjejas dan harap orang ramai janganlah mudah terpengaruh dengan berita yang tidak benar," katanya.

Sementara itu, warga emas yang pernah terkena bisa ampai-ampai, Mat Hassan,74, berkata, selepas terkena ampai-ampai itu perutnya menjadi kembung dan rasa mencucuk-cucuk.

Namun menurutnya, ketika itu dia tidak mendapatkan rawatan di klinik dan hanya berubat secara tradisional.

"Saya masih ingat, bisanya mencucuk kalah jarum dan sakitnya sehingga ke sendi, selama tiga hari pakcik terpaksa menahan kesakitan," katanya.

Sebelum ini seorang pemilik akaun Facebook membuat hantaran kononnya ratusan obor-obor dikesan di Pantai Puteri dan meminta orang ramai supaya tidak mandi-manda di pantai berkenaan.

Selain itu, turut tular gambar obor-obor berwarna merah didakwa ditemui berhampiran pantai tersebut.