Hafizh Syahrin janji aksi terbaik

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menerima cenderahati daripada ikon Proviton, Hafizh Syahrin Abdullah (kiri) pada Majlis Pelancaran Kempen Op Selamat 14 sempena Tahun Baru Cina 2019 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di Balai Polis Trafik, Jalan Tun H S Lee, hari ini. - Foto Bernama
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menerima cenderahati daripada ikon Proviton, Hafizh Syahrin Abdullah (kiri) pada Majlis Pelancaran Kempen Op Selamat 14 sempena Tahun Baru Cina 2019 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di Balai Polis Trafik, Jalan Tun H S Lee, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah bertekad mahu mempamerkan aksi cemerlang walaupun akan menggunakan jentera berbeza musim ini.

"Ini musim yang baharu, semestinya saya mempunyai keazaman mempertingkatkan prestasi saya walaupun tahun ini masih dengan pasukan yang sama tetapi saya akan menggunakan jentera yang berbeza. Sasaran saya adalah memberikan prestasi lebih baik daripada tahun 2018.

"Saya bersama-sama rakan sepasukan Red Bull KTM Tech 3 Racing iaitu Miguel Oliveira dan Johann Zarco akan berusaha dengan pasukan menyediakan jentera terbaik untuk musim ini. Kalau boleh kami mahu pasukan bersedia sepenuhnya sebelum perlumbaan pertama di Qatar (pada Mac)," katanya ketika ditemui Bernama pada majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran bersama Proviton dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Katanya, jentera KTM masih baharu dalam saingan MotoGP dan perlu disediakan sebaik mungkin dan seterusnya mampu memberi saingan yang kuat kepada jentera-jentera lain seperti Yamaha, Honda, Suzuki dan Ducati.

Kempen keselamatan sempena musim perayaan itu dilancarkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dan turut dihadiri Ketua Pegawai Komersial CCM Duopharma Biotec Berhad, Billy Urudra.

Pada majlis yang sama, Hafizh Syahrin turut menandatangani MoU selaku ikon dan duta jenama Proviton dan melalui kerjasama itu, beliau ditampilkan dalam video berdurasi selama seminit yang mengetengahkan aspek-aspek keselamatan pemanduan motosikal sempena perayaan Tahun Baru Cina, bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Kempen digital ini akan dipaparkan dalam pelbagai platform media sosial termasuk YouTube, Instagram dan Facebook.

Mengenai musim baharu perlumbaan kelas MotoGP dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, Hafizh Syahrin berkata cabaran sengit sentiasa ada walaupun ada pelumba bertukar pasukan atau jentera dan itu akan dihadapi semua pelumba.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya selepas tamat musim 2018, tempoh dua bulan sebelum musim baharu bermula digunakan untuk latihan fizikal bagi menguatkan stamina.

"Saya banyak membuat latihan di gimnasium, berbasikal serta bermain bola sepak dan futsal. Saya mahu diri saya cukup bersedia dari segi mental dan fizikal. Jentera baharu ini sedikit berbeza dengan jentera sebelum ini daripada segi chasis," katanya.

Hafizh Syahrin berkata pasukannya akan menampilkan warna dan kit perlumbaan sama ada pada 12 atau 13 Februari depan. - Bernama