Ada sinar baharu menanti Khalid

Khalid (kiri), Wan Ahmad Fayhsal semasa sidang media, hari ini.
Khalid (kiri), Wan Ahmad Fayhsal semasa sidang media, hari ini.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan cuba membantu legenda Perak, Khalid Jamlus dengan memberikan peluang buatnya kembali berada dalam industri bola sepak negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Khalid merupakan aset kepada bola sepak negara dan KBS akan cuba membantu memberikan sinar baharu kepada bekas penyerang Perak itu.

Bagaimanapun beliau berkata, butiran mengenai perkara tersebut tidak boleh didedahkan lagi dan hanya akan diumumkan selepas perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Setakat ini saya tidak boleh bagi tahu apa-apa. Cumanya kita akan ikhtiar supaya ada sinar untuk beliau.

“Saya melihat dia sebagai aset untuk industri bola sepak kita berdasarkan reputasinya di atas padang sebelum ini dan saya difahamkan beliau ada lesen B dalam bidang kejurulatihan.

“Buat masa ini saya tak boleh maklumkan apa-apa lagi sebelum perbincangan dengan menteri nanti,” katanya kepada media selepas perjumpaannya dengan Khalid di Putrajaya.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Sebelum ini, Khalid menggemparkan industri sukan negara selepas bertindak melelong barangan peribadi termasuk jersi, pingat dan kasut emas yang dimenanginya ketika beraksi dalam saingan liga.

Artikel Berkaitan:

Tindakan Khalid itu dipercayai kerana menghadapi masalah kewangan selepas tidak mempunyai kerja sejak tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan KBS sentiasa komited membantu atlet terutama yang sudah bersara daripada industri sukan.

“Komitmen KBS dan Menteri, Datuk Seri Reezal Merican amat tinggi untuk membela atlet yang memerlukan sokongan atau bantuan kepada atlet terutama yang sudah bersara.

“Di peringkat kebangsaan, kita sentiasa bekerja erat dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan saya percaya mereka mempunyai kemahiran yang luas untuk membantu atlet kita,” kata Wan Ahmad Fayhsal.