X

Kindly register in order to view this article
!

Laporan tidak tepat garis kemiskinan beri kesan polisi kerajaan

Barjoyai Bardai
A
A

SHAH ALAM - Laporan tidak tepat mengenai garis kemiskinan di Malaysia yang didakwa pada paras terendah di dunia hanya akan memberi kesan kepada polisi kerajaan dan juga peruntukan perbelanjaan untuk menangani kes kemiskinan di negara ini.

Pensyarah di Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar kemiskinan yang terlalu rendah akan memberi bayangan bahawa negara hampir bebas daripada kemiskinan, sekali gus menunjukkan tidak wujud keperluan untuk menangani isu kemiskinan ini dengan serius.

"Ini akhirnya akan memberi masalah jangka masa panjang kerana kesannya akan merangkumi sosial, ekonomi dan juga politik negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Bagi Miskin Tegar dan Hak Asasi, Philip Alston mendakwa kadar kemiskinan Malaysia iaitu pada paras 0.4 peratus, paras terendah di dunia adalah tidak tepat serta membimbangkan.

Malah katanya, penggunaan garisan kemiskinan yang tidak realistik hanya memburukkan keadaan sedia ada dan memberikan gambaran lebih kabur mengenai jutaan rakyat yang tinggal di kawasan bandar serta pedalaman.

Selain itu, Ahmed Razman berkata, kesan juga boleh dilihat sekiranya kerajaan melaksanakan Paras Garis Kemiskinan (PGK) baharu pada kadar yang lebih tinggi.

"Jika paras kemiskinan baharu menunjukkan kadar yang lebih tinggi, polisi, dasar dan belanjawan yang diperuntukkan untuk menangani isu kemiskinan mungkin terpaksa digubal semula untuk memastikan ia akan dapat ditangani dengan lebih serius, selain memastikan kadar kemiskinan yang baharu itu dapat dikurangkan ke paras minimum," katanya.

Dalam pada itu, Ahmed Razman menegaskan kerajaan pada ketika ini perlu memberi fokus untuk membantu golongan miskin bandar yang majoritinya adalah kaum Melayu.

Ahmed Razman
Ahmed Razman

Menurutnya, realiti kadar kemiskinan di Malaysia hari ini ialah semakin banyak yang sebenarnya tergolong dalam miskin bandar iaitu walaupun mereka mempunyai pendapatan lebih RM3,000 tetapi kos perbelanjaan di bandar adalah tinggi.

"Kaum Melayu pula semakin ramai yang tinggal di bandar dan sebenarnya mengalami kesukaran untuk menampung kos belanja isi rumah kerana faktor gaji yang rendah dan isi keluarga yang besar," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai pula memberitahu, pendedahan oleh Alston mengenai laporan tidak tepat garis kemiskinan Malaysia itu dilihat memberi impak berbeza kepada negara dan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, kesan kepada Malaysia sudah tentu negatif kerana ia melibatkan reputasi negara tetapi ia memberi impak positif kepada rakyat kerana akan menggesa kerajaan untuk bertindak segera ekoran isu itu tidak boleh dibiarkan.

Namun katanya, beliau berpendapat kenyataan atau laporan tersebut tidak perlu diperdebatkan, sebaliknya apa yang perlu dilakukan kerajaan khususnya adalah untuk memeriksa segera berapa jumlah sebenar isi rumah di negara ini yang pendapatan mereka kurang daripada RM2,500 sebulan termasuk memastikan berapa keperluan minima untuk hidup merangkumi tiga perkara iaitu makan minum, rumah dan pakaian.

"Kita tidak tahu apakah angka sebenar PGK pada hari ini tapi saya berpendapat ia pada tahap RM2,500 kerana ia merupakan keperluan hidup minima isi rumah di Malaysia pada hari ini termasuk di bandar dan luar bandar.

"Selain itu, ramai isi rumah dikenal pasti berpendapatan kurang daripada nilai tersebut kerana gaji minima kakitangan kerajaan adalah RM1,200," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!