Kadar kemiskinan bumiputera lebih tinggi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar kemiskinan dalam kalangan masyarakat bumiputera di Malaysia lebih tinggi berbanding Cina dan India.

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Madeline Berma berkata, dalam kalangan bumiputera pula, masyarakat orang asli serta peribumi Sabah dan Sarawak dikenal pasti mencatatkan kadar kemiskinan yang lebih tinggi.

Beliau berkata, hasil dapatan itu diperoleh berdasarkan ukuran kadar kemiskinan yang dibuat merujuk kepada kedua-dua bentuk pendekatan iaitu garis kemiskinan (PLI) dan indeks pelbagai dimensi (DMI).

"Sebenarnya di Malaysia, kemiskinan itu tidak dikira mengikut kaum tetapi dikira mengikut kawasan berdasarkan kaedah PLI.

"Contohnya garis kemiskinan diukur mengikut negeri di mana kadar kemiskinan di Semenanjung Malaysia berbanding Sabah dan Sarawak adalah berbeza," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Madeline berkata, kaedah mengukur kemiskinan di Malaysia juga terbahagi kepada dua pendekatan iaitu kemiskinan secara mutlak yang diukur dengan kaedah PLI, manakala satu lagi menggunakan kemiskinan relatif.

"Bagaimanapun, sejak Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), kita sudah menggunakan pendekatan baharu pengukuran kadar kemiskinan kepada pendekatan kemiskinan relatif kerana ia lebih sesuai dan kemudian kepada kaedah DMI," katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan juga mengatakan bahawa peratusan kemiskinan dalam kalangan orang Melayu di negara ini lebih tinggi berbanding kaum lain.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana bilangan orang Melayu lebih besar daripada bangsa lain dan ditambah pula dengan kedudukan isi rumah Melayu serta jenis pekerjaan mereka.

Beliau berkata kemiskinan dipecahkan kepada tiga kategori iaitu miskin tegar, miskin dan mudah miskin.

"Jika di Semenanjung Malaysia, bangsa Melayu yang paling tinggi kadar kemiskinan dicatatkan di negeri Kelantan," katanya.

Menurutnya, statistik jumlah keseluruhan Kemiskinan e-Kasih Nasional di Kelantan sehingga 16 Februari 2017 menunjukkan daripada seramai 86,875 individu direkodkan, sebanyak 10,371 merupakan individu miskin tegar, selain miskin (40,523 orang) dan mudah miskin (4,171 orang).

"Angka itu terus meningkat sehingga Februari 2018 dengan jumlah keseluruhan seramai 93, 811 individu," katanya.

Mengenai tiga kategori miskin itu, beliau menjelaskan, mudah miskin merujuk kepada golongan yang tinggal di bandar serta kumpulan yang terjejas apabila dilanda musibah seperti pandemik Covid-19.

"Contohnya, jika mereka dari golongan M40 tiba-tiba menjadi B40 disebabkan musibah itu," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis ekonomi, Profesor Dr Hoo Ke Ping berkata, beliau turut bersetuju bahawa kadar kemiskinan paling tinggi adalah dalam kalangan orang Melayu.

Beliau berkata, kaum Cina pula merekodkan kadar kemiskinan terendah dan diikuti kaum India di tempat kedua.

"Perbezaan ini ketara kerana rata-rata kaum Cina melibatkan diri dalam sektor perniagaan termasuk berniaga di pasar pagi dan pasar malam yang membolehkan mereka mendapat pendapatan berganda. Amat jarang kaum Cina terutama yang tinggal di bandar mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,000.

"Orang India pula banyak terlibat dalam bidang perkhidmatan dan pengangkutan, manakala orang Melayu pula kebanyakan bekerja di sektor kerajaan.

"Orang Cina juga amat kurang bekerja di sektor kerajaan kerana lebih suka terlibat dalam sektor perniagaan yang mana mereka boleh dapat pendapatan atau gaji berganda," katanya.