'Tak mustahil Covid-19 kembali mengganas di Malaysia'

Dr Zubaidi
Dr Zubaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar-pakar kesihatan menyokong penuh titah saranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya masyarakat tidak alpa dan meneruskan amalan normal baharu bagi melindungi diri daripada pandemik koronavirus (Covid-19).

Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Doktor Kesihatan Am Hospital Kasih Cyberjaya, Dr Hanafiah Bashirun berkata, kegagalan paling ketara kini adalah pematuhan terhadap penjarakan sosial.

Menurut beliau, kebebasan untuk bergerak ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyebabkan ramai masyarakat mula ambil ringan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita boleh berdebat bahawa tiada kes ketara walaupun ramai yang mula keluar, namun kita tidak tahu siapa yang ada virus itu.

"Tiga perkara iaitu penjarakan sosial, pemakaian penutup hidung dan mulut serta kerap cuci tangan perlu sentiasa diamalkan.

"Kita tidak mahu buat kesilapan seperti China dan New Zealand apabila rakyat mereka hilang kesedaran tentang risiko jangkitan Covid-19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan kebimbangan apabila mendapati ramai rakyat di Selangor semakin mengabaikan amalan SOP bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Dr Hanafiah berkata, tidak mustahil gelombang kedua boleh berlaku jika masyarakat lupa apatah lagi negeri Selangor belum pernah bebas daripada Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, individu sendiri perlu memainkan peranan tanpa terus menuding jari terhadap pihak berkuasa dalam usaha menjaga pematuhan SOP ditetapkan.

"Media dan pemimpin juga perlu terus mendidik masyarakat menerusi pelbagai platform bahawa vaksin terbaik pada masa ini adalah penjarakan sosial diikuti dengan dua lagi perkara yang telah saya sebutkan," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad senada dan mahu masyarakat tidak begitu selesa melihat angka kes positif yang semakin terkawal.

Katanya, rakyat Malaysia harus sedar saringan tidak dibuat secara menyeluruh sebaliknya hanya membabitkan kumpulan berisiko.

"Jika semua orang disaring, mungkin lebih ramai yang positif kerana ada juga yang mungkin ada virus tetapi tidak mempunyai simptom.

"Kita mungkin boleh lega kerana dilihat agak terkawal dan Malaysia semakin bebas daripada jangkitan tapi ada beberapa yang dipanggil domain jangkitan yang berada di satu tempat dan apabila kita membuat saringan, akan lebih ramai positif.

"Yang menderita sehingga menyebabkan kematian kita boleh katakan agak rendah namun jika jangkitan melibatkan individu yang mempunyai penyakit kronik ia akan memberi risiko lebih tinggi," katanya.