Rakyat AS terjejas akibat tarik diri daripada WHO

A
A
A

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa lalu mula bertindak menarik keluar negaranya daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali gus menghentikan bantuan kewangan kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyukarkan lagi usaha memerangi wabak koronavirus (Covid-19)

Berikutan keputusan itu, pejuang kesihatan awam dan penentang politik Trump menyuarakan kebimbangan ekoran penarikan daripada badan yang berpangkalan di Geneva, Switzerland tersebut.

Selepas menggantung sumbangan AS berjumlah AS$400 juta (RM1.7 bilion) setahun kepada WHO, pentadbiran Trump telah menghantar satu notis kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, kata jurucakap Jabatan Pertahanan.

Penarikan daripada menjadi anggota utama pengasas WHO itu akan berkuatkuasa dalam tempoh setahun iaitu bermula pada 6 Julai 2021.

Joe Biden, saingan Trump untuk jawatan Presiden AS pada pilihan raya November nanti berikrar akan menamatkan penarikan itu jika menguasai Rumah Putih.

"Rakyat Amerika menjadi lebih selamat apabila Amerika terlibat dalam memperkukuhkan kesihatan global. Pada hari pertama saya menjadi presiden, saya akan kembali menyertai WHO dan memulihkan kepimpinan pada peringkat dunia," kata Biden menerusi akaun Twitternya.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi reaksi balas kepada berita tersebut dengan satu ayat menerusi Twitter iaitu: "Bersama!"

Kenyataan itu dipautkan dengan satu perbincangan oleh pakar-pakar AS tentang bagaimana tindakan meninggalkan badan itu boleh menghalang usaha-usaha bagi menangani pandemik pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

Sejajar dengan syarat yang ditetapkan oleh WHO pada tahun 1948, AS boleh meninggalkan (WHO) dalam tempoh setahun tetapi perlu memenuhi baki kewajipan kewangannya, kata jurucakap badan kesihatan dunia itu, Stephane Dujarric.

Pada Mei lalu, Trump berkata, China 'mengawal sepenuhnya' WHO dan mendakwa badan dunia itu yang diketuai oleh Tedros iaitu doktor dan diplomat Habsyah gagal melaksanakan pembaharuan.

Presiden AS itu yang sering menyalahkan China kerana Covid-19 dan kerap mengkritik PBB berkata, AS akan menyumbang secara terus kepada pertubuhan lain di seluruh dunia dan berhak mendapatkan keperluan kesihatan awam global dengan segera.

Para wakil rakyat parti Demokrat mendakwa Trump berusaha untuk memesongkan kritikan berhubung caranya mengendalikan pandemik di AS yang mengalami jumlah kematian tertinggi daripada mana-mana negara walaupun presidennya berharap virus tersebut akan hilang.

"Itu (tarik diri daripada WHO) tidak melindungi nyawa rakyat Amerika atau kepentingannya. Ia meninggalkan warga Amerika sakit dan Amerika bersendirian," kata Senator Robert Menendez, tokoh utama parti Demokrat yang menjadi Ahli Jawatankuasa Hubungan Luar.

Seorang doktor yang juga Ahli Perwakilan AS, Ami Bera berkata, AS dan WHO perlu saling bekerjasama untuk menghapuskan penyakit cacar dan hampir berjaya menangani penyakit polio.

"Kes kami semakin meningkat. Jika WHO perlu dipersalahkan, kenapakah AS ditinggalkan ke belakang manakala banyak negara dari Korea Selatan sehingga ke New Zealand, Vietnam hingga ke Jerman kembali semula normal?" kata Bera.

Menurut laporan saluran siasatan berita ProPublica, pada bulan lalu, kebanyakan pembantu Trump memejamkan mata berhubung pengumuman tentang pengunduran daripada WHO yang dibuat Presiden AS itu semasa kemunculannya ketika memberi ulasan tentang China.

Pentadbiran Trump berkata, WHO telah mengabaikan tanda-tanda awal jangkitan dari manusia ke manusia di China termasuk amaran dari Taiwan yang tidak menjadi anggota PBB berikutan tekanan daripada Beijing.

Ketika kebanyakan pejuang kesihatan awam berkongsi beberapa kritikan terhadap WHO, mereka mempersoalkan apa pilihan lain perlu dilakukan selain bekerjasama dengan China iaitu tempat Covid-19 dikesan pertama kali di bandar raya Wuhan.

Pejuang anti-kemiskinan, ONE berkata, AS sepatutnya bekerjasama untuk melakukan pembaharuan bukan meninggalkan WHO.

"Menarik diri daripada WHO ketika ditengah-tengah pandemik merupakan satu tindakan sangat mengagumkan yang meletakkan risiko kepada semua warga Amerika dan di dunia. - AFP