Kolam takungan, pembersihan parit di Pekan Nanas

Jeck Seng (dua dari kiri) meninjau keadaan banjir di Pekan Nanas yang berlaku pada bulan lalu.
Jeck Seng (dua dari kiri) meninjau keadaan banjir di Pekan Nanas yang berlaku pada bulan lalu.
A
A
A

PONTIAN - Sebuah kolam takungan yang berfungsi menampung air banjir dan menghalang air pasang memasuki sistem perparitan akan dibina bagi menangani banjir kilat yang kerap berlaku di Kampung Parit Pasir, Pekan Nanas.

Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, kolam takungan itu dibina sebuah syarikat pemaju di Pekan Nanas sekali gus dapat menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering dihadapi penduduk.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi II berkata, kerja- kerja pembersihan parit juga akan dilakukan bagi mengelak kejadian banjir kilat yang berlaku pada pertengahan bulan lepas, berulang.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah membuka tender bagi kontraktor melakukan kerja-kerja pembersihan kesemua parit di bawah seliaan jabatan itu yang tersumbat.

"Banjir kilat kerap berlaku disebabkan kurangnya usaha pembersihan sehingga parit sedia ada tersekat seterusnya mengundang risiko banjir kilat terutama ketika musim hujan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, antara kawasan terlibat dengan pembersihan parit itu ialah Kampung Parit Pasir, Kampung Kurnia, Kampung Paya Embun, Kampung Sri Bunian, Kampung Tenggayun, Kampung Parit Semerah, Kampung Perpat Timur dan Taman Sentosa.

"Saya menghargai usaha pihak berkenaan yang bertindak pantas dalam menangani isu banjir kilat ini. Penduduk tidak mahu banjir kilat berulang dan mahukan tindakan penyelesaian dilakukan segera," katanya.

Banjir yang berlaku di Pekan Nanas pada 20 Jun lalu melibatkan beberapa buah kampung antaranya Kampung Parit Pasir, Kampung Jasa Sepakat, Kampung Sawah dan Kampung Air Putih.

Artikel Berkaitan: