Nenek meninggal dunia akibat luka dijilat kucing

Air liur kucing membawa pelbagai bakteria berbahaya kepada manusia. - Foto AFP
Air liur kucing membawa pelbagai bakteria berbahaya kepada manusia. - Foto AFP
A
A
A

MELBOURNE - Para doktor memberi amaran kepada orang ramai tentang bahaya air liur kucing selepas seorang wanita meninggal dunia setelah haiwan itu menjilatnya, lapor portal berita News.com.au pada 6 Julai lalu.

Pakar-pakar penyakit berjangkit berkata, mereka melihat sekurang-kurangnya seorang pesakit dirawat pada setiap minggu di hospital Melbourne kerana air liur haiwan itu mengandungi bakteria yang boleh membawa maut.

Mereka memberi amaran ia boleh membawa komplikasi seperti kegagalan jantung malah mata menjadi buta.

Satu keluarga di Melbourne berasa sedih selepas mereka mendapati nenek mereka yang berusia 80 tahun tidak memberikan tindak balas ketika kucingnya, Minty berada di sisinya.

Keluarga yang enggan dikenali itu mahu orang lain diberi amaran tentang bahaya memelihara kucing terutamanya bagi golongan yang mudah terdedah dengan penyakit.

Kucing peliharaan itu telah mencakar nenek tersebut dan menjilatnya pada waktu malam.

"Ibu (nenek itu) akan tidur bersama dengan kucing dan paling ketara adalah pada waktu malam ia telah menjilat luka (pada nenek tersebut) dan air liurnya (yang membawa bakteria) memasuki saluran darah dan menyebabkan kerosakan organ badan," kata seorang anak perempuannya kepada Herald Sun baru-baru ini.

Nenek itu menderita bakteria meningitis dan koma selama sembilan hari di Hospital Box Hill.

Artikel Berkaitan:

Keluarganya berkata, dia sempat bangun bagi menghabiskan masa-masa terakhir dengan mereka sebelum jatuh sakit dan meninggal dunia sehari selepas alat bantuan sokongan hayat ditanggalkan.

Pengarah Penyakit Berjangkit Austin, Lindsay Grayson memberi amaran bahawa orang ramai tidak sepatutnya membiarkan luka mereka dijilat kucing mereka.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sistem imun badan yang lemah perlu mengelakkan berada bersama haiwan.

Kucing membawa beberapa bakteria seperti pasteurella yang boleh membawa meningitis termasuk bartonella iaitu penyebab 'penyakit dicakar kucing'.

"Kami menerima sekurang-kurangnya seorang pesakit mengenai jangkitan berkaitan gigitan kucing dan dicakar haiwan itu seperti nenek ini adalah seorang bagi setiap minggu di hospital," kata Grayson kepada akhbar tersebut.

"Adalah amat penting jika seekor kucing menggigit atau mencakar anda, anda perlu memberitahu seorang doktor," ujarnya. - Agensi