X

Kindly register in order to view this article
!

Tiba masa PH balas jasa Amanah

A
A

MESYUARAT Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 28 Jun lalu bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahli parti itu termasuk Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha.

Menerusi keputusan tersebut, jawatan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor yang turut disandang oleh Haniza juga dikosongkan dan akan diisi menerusi pemilihan calon baharu oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini yang menyatakan bahawa kerajaan negeri kini mempunyai dua kekosongan kerusi Exco yang akan diisi selewat-lewatnya sebelum hujung bulan ini.

Difahamkan, selain kekosongan kerusi Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar yang ditinggalkan Haniza, jawatan bagi Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan disandang oleh wakil Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Abdul Rashid Asari juga akan turut diisi dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Abdul Rashid melepaskan jawatan itu selepas Bersatu tidak lagi menjadi sebahagian daripada gabungan PH susulan perkembangan di peringkat kerajaan Persekutuan.

Pastinya antara polemik yang timbul kini adalah siapakah pemimpin PH yang dilihat akan mengisi kekosongan dua portfolio tersebut?

Buat masa ini, wakil rakyat daripada PKR memegang empat jawatan dalam barisan Exco Kerajaan Selangor, DAP pula tiga dan dua daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Terdapat juga ura-ura mengatakan ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan diangkat bagi menggantikan Abdul Rashid manakala ADUN Bukit Melawati, Juwairiyah pula dikatakan bakal menggantikan kekosongan ditinggalkan Haniza.

Sekiranya perkembangan ini benar, pastinya dapat dilihat ketidakseimbangan dalam barisan Exco kerajaan negeri di mana PKR kekal dominan dengan menguasai enam kerusi Exco.

Bagi DAP pula, mereka dilihat sudah mencukupi kuota pemimpin dalam kerajaan negeri di Selangor iaitu tidak boleh melebihi 40 peratus dan pastinya parti itu tidak lagi dapat menampilkan calon sendiri bagi mengisi kekosongan dua portfolio berkenaan.

Selepas Bersatu meninggalkan PH di Selangor, Amanah dilihat dapat menjadi satu-satunya parti dalam gabungan itu bagi menampilkan calon mereka untuk mengisi kekosongan dalam barisan Exco kerajaan negeri.

Di Selangor, Amanah kini mempunyai lapan ADUN yang mempunyai rekod baik serta kekuatan tersendiri sekiranya diberi peluang untuk berada dalam saf kepimpinan Exco.

Sebagai contoh, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib merupakan seorang pemimpin lama yang berpengalaman dalam politik.

Selain itu, terdapat beberapa figura lain yang turut dikatakan dapat menggalas tanggungjawab itu antaranya ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman; ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar; ADUN Sungai Ramal, Mazwan Johar dan beberapa lagi.

Namun, sekiranya Amanah mempunyai calon sesuai untuk diketengahkan, adakah PKR terbuka bagi melepaskan jawatan itu?

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, sekiranya PKR berkeras untuk menampilkan calon mereka bagi mengisi kekosongan itu, ia dibimbangi akan menyebabkan ketidakseimbangan dalam barisan pimpinan Exco.

Beliau berkata, walaupun Amanah merupakan parti gabungan minoriti dalam PH, namun suara mereka harus didengar oleh pimpinan PH.

"PH mungkin ingat Amanah ini parti yang tidak kisah jika tak dapat jawatan tapi sepatutnya tak boleh begitu.

"Rekod juga tunjukkan pemimpin Amanah di Selangor tiada yang lompat parti sedangkan PKR, Bersatu dan BN ramai yang buat begitu.

"Jadi kesetiaan Amanah ini mereka perlu hormat dan inilah masa untuk PH balas balik jasa Amanah yang kekal setia bersama mereka," katanya.

Kepakaran

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib pula dilihat berbeza pendapat dengan Ahmad Atory berhubung perkara itu.

Md Shukri berkata, dalam pemilihan Exco, soal 'balas jasa' tidak sewajarnya diberi keutamaan berikutan aspek kepakaran dan kebolehan perlu lebih didahulukan.

"Ini kerana, Exco merupakan kuasa eksekutif malah mereka berkhidmat untuk rakyat secara keseluruhan dan bukan mengikut parti.

"Jadi adalah lebih wajar Exco yang dipilih itu seharusnya terdiri daripada mereka yang berkelayakan dan berkebolehan dalam bidang masing-masing," katanya.

Berdasarkan ulasan pemerhati politik di atas secara jelas menunjukkan bahawa PH perlu membuat keputusan terbaik bagi mengisi kekosongan dalam barisan Exco di samping memastikan keharmonian antara parti gabungan itu terpelihara.

Mungkin benar sudah tiba masanya PH perlu memberi peluang kepada Amanah sekiranya mereka mempunyai calon yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan Exco kerajaan Selangor.

Dan Amanah juga perlu menggunakan peluang ini sebaiknya untuk lebih menonjol bagi membuktikan mereka bukan hanya parti pelengkap dalam PH dan mampu melahirkan lebih ramai pemimpin berkaliber.

Info: Senarai Exco Selangor

Exco Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Komunikasi Strategik dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES): Datuk Seri Amirudin Shari (PKR)

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS): Datuk Teng Chang Khim (DAP)

Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi: Rodziah Ismail (PKR)

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin: V Ganabatirau (DAP)

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani: Ir Izham Hashim (Amanah)

Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan: (Kosong)

Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan: Mohd Khairuddin Othman (PKR)

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru: Ng Sze Han (DAP)

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar: (bakal diisi calon baharu)

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga: Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah)

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna: Hee Loy Sian (PKR)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus