X

Kindly register in order to view this article
!

Surau perlu kebenaran pejabat agama laksana solat Jumaat: JAIPk

Gambar kecil: Mohd Yusop Husin
A
A

IPOH - Semua pengerusi jawatankuasa surau di Perak perlu mendapatkan kebenaran daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah masing-masing untuk melaksanakan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Julai ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, secara umumnya, terdapat lima kategori surau yang dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat dalam tempoh PKPP antaranya surau berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

"Selain itu, ia melibatkan surau institusi pendidikan, surau kem tentera, surau Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan surau jabatan atau pejabat-pejabat kerajaan," katanya menerusi Garis Panduan Solat Jumaat di Surau yang dikeluarkan menerusi Facebook JAIPk hari ini.

Menurutnya, kesemua surau itu perlu mempunyai keluasan ruang solat yang sesuai bagi membolehkan prosedur operasi standard (SOP) disaran Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri dipatuhi.

"Bilangan ahli solat Jumaat di surau-surau berkenaan berdasarkan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat yang menetapkan penjarakan satu meter di antara jemaah. Had minimum jumlah jemaah pada satu waktu solat adalah 40 orang dan ahli jemaah juga terdiri dalam kalangan warganegara sahaja.

"Jawatankuasa surau bolehlah menentukan ruang solat yang lain jika ruang utama dewan solat tidak dapat menampung bilangan jemaah 40 orang," katanya.

Terdahulu, MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan semua surau di Perak yang berdaftar dengan MAIPk dibenar melaksanakan solat Jumaat sepanjang tempoh PKPP bermula 10 Julai ini.

Keputusan itu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah setelah menimbang sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta merujuk garis panduan MKN dan Kementeri Kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Perak benar solat Jumaat di surau

Dalam pada itu, Mohd Yusop berkata, jawatankuasa surau perlu mengamalkan penjarakan fizikal dan mengekalkan bilangan jemaah seramai 40 orang tidak termasuk ahli jawatankuasa, imam, bilal dan siak.

"Jawatankuasa surau juga perlu bertanggungjawab terhadap kebenaran pelaksanaan solat Jumaat yang diberikan dan mematuhi garis panduan yang dikeluarkan.

"Kaunter di pintu masuk perlu diadakan bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta merekod kehadiran jemaah selain memaparkan kod QR MySejahtera di papan kenyataan dan pintu masuk surau," katanya.

Katanya, semua jemaah diwajibkan membawa kad pengenalan untuk diperiksa oleh pengurusan surau sebelum memasuki ruang solat.

"Selain itu, mereka juga perlu mengambil wuduk dari rumah masing-masing dan membawa sejadah sendiri untuk menunaikan solat Jumaat di surau berkenaan" katanya.

Sementara itu, kaedah pelaksanaan SOP bagi solat Jumaat di surau masih menggunapakai garis panduan solat Jumaat di masjid dan Surau Diri Jumaat.

Antaranya, pihak jawatankuasa surau dikehendaki menyusun saf solat berjemaah pada jarak sekurang-kurangnya satu meter dengan penandaan.

Sejurus selepas solat berjemaah selesai, pihak ahli jawatankuasa juga perlu membuat rondaan di sekeliling surau bagi memastikan tidak jemaah yang berkumpul.

Jemaah juga perlu hadir satu jam sebelum azan dilaungkan kerana pintu pagar surau akan ditutup selepas doa azan kedua.

Maklumat terperinci mengenai garis panduan tersebut boleh dirujuk menerusi lama Facebook JAIPk dan laman sesawang www.jaipk.gov.my


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus