Guru rugi RM333,000 ditipu dua 'Inspektor'

Gambar hiasan. Gambar kecil: Elias Omar
Gambar hiasan. Gambar kecil: Elias Omar
A
A
A
ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Seorang guru di sebuah sekolah di Changloon di sini kerugian RM333,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 51 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai petugas Pos Malaysia pada 26 Jun lalu.

Beliau berkata, suspek memberitahu kononnya guru itu telah melakukan kesalahan dengan membuat penghantaran bungkusan mengandungi kad pengenalan serta kad bank sebelum panggilan disambungkan kepada 'Inspektor Mazlan' dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

"Suspek memaklumkan bahawa mangsa terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan menghasilkan wang secara haram.

"Mangsa seterusnya disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang mendakwa sebagai 'Inspektor' Chong dan suspek menawarkan diri untuk membantu mangsa dalam kes tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, pada 29 Jun, suspek telah meminta mangsa membuat bayaran bagi menyelesaikan masalah dihadapi mangsa.

"Bimbang atas kesalahan yang serius dan malu takut diketahui oleh pihak sekolah, mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat bermula 29 Jun hingga 3 Julai sebanyak 37 kali transaksi yang melibatkan empat akaun bank.

"Pada 6 Julai, mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali dan memaklumkan bahawa mangsa telah disabitkan bersalah oleh pihak mahkamah.

"Suspek telah meminta memasukkan wang sebanyak RM100,000 untuk tujuan wang jaminan, namun mangsa berasa curiga dan menyedari diri telah ditipu," katanya.
Artikel Berkaitan:


Elias berkata, jumlah kerugian dialami mangsa merupakan kerugian tertinggi yang direkodkan bagi bulan Julai di Kedah. "Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.