X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga lelaki ditahan, dadah bernilai RM2 juta dirampas

Mazlan (tiga kiri) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tiga individu yang disyaki pengedar dadah ditahan secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur sejak 3 Julai hingga semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2 juta.

"Sepasukan anggota polis telah menahan seorang lelaki di tepi jalan Batu Bernam Jalan Ipoh pada jam 12.30 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta Perodua Axia yang dinaiki suspek, kita menjumpai dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 500 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, hasil siasatan lanjut, polis menyerbu sebuah unit servis apartment di Jalan Metro Perdana, jam 2.20 petang, pada hari yang sama.

"Kita telah merampas dadah disyaki jenis syabu anggaran berat 300 gram dan menyita wang tunai RM1,300," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menyerbu sebuah lagi servis apartment pada jam 5.40 petang di Taman United, di sini.

"Kita menahan seorang lelaki di tingkat enam kediaman itu, hasil soal siasat kita merampas syabu seberat 30 kilogram, heroin (2,900 gram) dan 50,000 biji pil erimin 5," katanya.

Menurutnya, kesemua dadah yang dirampas itu dijumpai di dalam unit kediaman yang dijadikan sebagai stor.

"Sindiket yang dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu itu dipercayai mengedar dadah itu kepada pengedar dadah kecil-kecilan untuk pasaran sekitar Lembah Klang," katanya.

Mazlan berkata, siasatan lanjut, pihaknya memberkas seorang lagi lelaki di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Maju pada jam 11.30 malam, 6 Julai lalu.

"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai wang tunai RM394,000 di dalam kediaman itu, kita akan menyiasat sama ada wang tunai itu hasil jual beli dadah," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut, Bahagian Perlucuthakan Harta, Jabatan Siasatan Narkotik Kuala Lumpur telah membuat pemeriksaan di dalam sebuah peti besi di kondominium sama, semalam dan menyita wang tunai RM201,080, pelbagai mata wang asing yang bernilai RM19,987.93 serta barang kemas bernilai RM284,505.

Mazlan berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 28 hingga 35 ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf