X

Kindly register in order to view this article
!

77,790 pas MY30 terjual sehingga 30 Jun: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 77,790 pas di bawah program MY30 telah terjual setakat 30 Jun 2020 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang memperuntukkan RM200 juta bagi penggunaan tanpa had pengangkutan awam dengan bayaran RM1 sehari selama 30 hari.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, setakat ini subsidi kerajaan bagi pas-pas ini bernilai RM13.2 juta bagi penggunaan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), transit aliran ringan (LRT), monorel, Bas Rapid Transit (BRT), Bas RapidKL dan Bas Pengantara MRT.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Laporan Ke-12 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Penjana menerusi laman Facebooknya hari ini.

Sementara itu beliau berkata, di bawah inisiatif Penjana Kerjaya iaitu program insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM1.5 bilion sebanyak 106,308 kekosongan jawatan dipaparkan dan 123,919 pencari kerja didaftarkan di bawah inisiatif MYFutureJobs, sehingga 6 Julai.

Beliau turut meminta lebih ramai pekerja yang bekerja tanpa jaringan keselamatan sosial agar mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendapatkan perlindungan di bawah inisiatif Penjana Gig.

Tengku Zafrul berkata, menurut Perkeso sejak Januari 2020 sehingga kini hanya tujuh peratus atau 28,425 pekerja ekonomi gig berdaftar dengan agensi itu daripada sasaran 400,000 pekerja.

"Dengan bayaran sebanyak RM232.80 setahun, kerajaan membayar 70 peratus (RM163) manakala 30 peratus (RM69.80) ditampung penyedia platform perkhidmatan gig," katanya.

Mengenai ekonomi semasa, beliau berkata, penilaian kedudukan global yang telah mengesahkan kedudukan Malaysia dalam pelbagai aspek merupakan sebuah pengesahan terhadap dasar dan langkah-langkah Malaysia yang baik.

"Pelaburan keseluruhan Malaysia yang diluluskan adalah bukti keberkesanan kita dalam memudahkan perniagaan," katanya.

Beliau berkata, Malaysia berjaya mencatat dan meluluskan pelaburan sebanyak RM208 bilion pada 2019 meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!