KASA terima 200 aduan pencemaran FOG

Tuan Ibrahim meninjau operasi perkhidmatan pengosongan sistem perangkap lemak, minyak dan gris (FOG) dalam majlis pelancarannya hari ini. - Foto Asril Aswandi Shukor
Tuan Ibrahim meninjau operasi perkhidmatan pengosongan sistem perangkap lemak, minyak dan gris (FOG) dalam majlis pelancarannya hari ini. - Foto Asril Aswandi Shukor
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 200 aduan pencemaran berkaitan lemak, minyak dan gris (FOG) diterima Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam tempoh 16 hari dalam Op Air Raya baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Ibrahim Tuan Man berkata, menyedari hal tersebut, kesemua operator berasaskan makanan di negara ini perlu memastikan bahan buangan itu diselia secara berskala.

"Bayangkan jika FOG tidak diselia, ia akan menyebabkan saluran kumbahan melimpah dan akhirnya memberi kesan kepada alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan perkhidmatan pengosongan sistem perangkap lemak, minyak dan gris (FOG) untuk premis komersial dan industri oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd di sini, hari ini.

Menurutnya, operator industri penyediaan berasaskan makanan supaya menyokong usaha kementerian untuk memastikan FOG diurus dengan baik.

"Saya pasti ia mampu mengurangkan masalah limpahan FOG dan mengurangkan insiden pencemaran yang sering berlaku," katanya.

"Kita mensasarkan kitar semula sisa kumbahan pada kadar yang lebih tinggi daripada sedia ada menjelang tahun 2030 dan inisiatif IWK ini dilihat akan membantu mencapai sasaran Pelan Induk Teknologi Hijau (2017-2030)," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, semua pihak diseru menyokong usaha tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Tugas membendung pencemaran air dan memelihara alam sekitar dipertanggungjawabkan kepada kita semua. Buatlah yang terbaik supaya amanah itu dapat kita laksanakan," katanya.

Ops Air Raya dijalankan KASA bermula 14 hingga 29 Mei lalu.