X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas maut dilanggar lari

A
A

MANJUNG - Seorang lelaki warga emas maut dipercayai dilanggar lari dalam kemalangan di Kilometer 2 Jalan Sitiawan - Lekir di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Lu Teng Chu, 68, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisoner Nor Omar Sappi berkata, ketika kejadian, mangsa sedang berjalan kaki dan mahu melintas jalan sebelum dipercayai dilanggar sebuah kenderaan tidak dikenal pasti yang datang dari arah Sitiawan menghala ke Lekir.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pejalan kaki terbabit dipercayai telah melintas jalan dari kiri ke kanan jalan.

"Akibat jarak yang terlalu dekat, kenderaan tersebut tidak sempat mengelak dan telah melanggar mangsa menyebabkannya cedera parah dan telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, buat masa ini butiran kenderaan serta pemandu yang terbabit dalam kejadian itu belum diperoleh kerana tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Usaha mengesan kenderaan dan pemandu terbabit masih diteruskan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, Inspektor K Nithiya di talian 011-33500945," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus