30 kontena bahan mentah milik syarikat plastik 'terkandas'

Guo Nan (dua, kiri) bersama wakil syarikat pada sidang media hari ini.
Guo Nan (dua, kiri) bersama wakil syarikat pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - Sebuah kilang plastik milik syarikat Hong Kong yang berpengkalan di sini mendakwa berlaku kecuaian hingga mengakibatkan 30 kapal kontena muatan bahan mentah milik syarikat itu tidak dapat dikeluarkan dari kawasan pelabuhan di Klang.

Perkara itu disedari tiga minggu lalu apabila proses tuntutan yang dibuat tidak diluluskan selepas mendapati nama syarikat dalam senarai konsaini telah ditukar tanpa pengetahuan wakil syarikat.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata, bahan mentah bernilai lebih RM780,000 itu telah tiba di pelabuhan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan menyebabkan ia terpaksa diletakkan sementara di situ.

Menurutnya, tiga minggu lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula, syarikat berkenaan telah menghantar syarikat logistik menuntut 30 kontena terbabit, namun dimaklumkan nama syarikat tidak sepadan.

"Pihak kilang terus menghubungi syarikat Hong Kong dan mengenalpasti bahawa kedua-dua pihak mereka tidak pernah membuat permohonan penukaran konsaini tersebut.

"Mereka mengesyaki ada pihak tertentu sengaja buat penukaran tersebut tanpa pengetahuan mereka supaya boleh mengambil alih kesemua muatan kontena terbabit," katanya ketika ditemui pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, pihak syarikat telah membuat aduan kepada MCA kerana masalah terbabit melibatkan tiga negara, iaitu penjual bahan mentah di Hong Kong, pembekal di Jerman dan pembeli dari Malaysia.

Katanya, satu laporan polis telah dibuat oleh ketiga-tiga pihak bagi siasatan lanjut Kastam Diraja Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Masalah ini menyebabkan pihak kilang yang mempunyai cawangan di Ipoh dan Georgetown, Pulau Pinang berdepan masalah operasi kerana kekurangan bahan mentah.

"Kilang ini sudah beroperasi sejak lebih setahun lalu dan setakat ini sudah 750 kontena bahan mentah dibawa masuk melalui syarikat yang sama, namun belum pernah berdepan masalah seumpama itu," katanya.