X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Reezal harap PPBN beri impak kepada skuad B-19

Reezal Merican
A
A

IMPAK Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) diharap akan membuahkan hasil kepada skuad Bawah (B-19) negara yang akan beraksi pada Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dari 14 hingga 31 Oktober depan.

Malah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut mengharapkan pemain daripada program khas itu mampu menyerlah secara individu sama ada dalam saingan liga peringkat domestik atau di pentas luar negara.

“Sudah tentu diharapkan (pemain PPBN) mampu menjadi nilai tambah kepada pasukan kebangsaan dan apa yang penting ialah hasil daripada pembangunan peringkat awal yang kita sudah di jalankan sebelum ini. Saya mahu melihat apakah keputusan walaupun saya bukanlah pemula PPBN kerana pemula adalah menteri-menteri lalu.

“Permulaan ideanya datang daripada Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum idea itu digubal secara komprehensif di bawah Khairy Jamaluddin mungkin kejayaannya nanti kita boleh tengok selepas banyak pelaburan dilakukan sejak tiga empat tahun lepas,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Semalam Reezal Merican meninjau persiapan skuad B-19 kendalian Brad Maloney di Wisma FAM bersama timbalannya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta Presiden FAM dan MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata, walaupun masih belum boleh menjalani latihan secara kontak, semangat serta kekuatan ditunjukkan pasukan itu begitu mengagumkan untuk menyinar di Tashkent, Uzbekistan kelak.

“Saya diberi taklimat mengenai kesediaan pasukan ini, dan walaupun bola sepak pada waktu ini dalam tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) hanya dibenarkan latihan tanpa kontak saya boleh lihat kesungguhan dan semangat 35 pemain yang jalani latihan.

“Diharapkan dengan perkembangan dalam satu atau dua hari ini, akan ada perubahan beberapa bentuk sukan yang boleh dibuka dan lebih dibenarkan yang kita sedang dapat pada waktu ini. Situasi ini akan menyaksikan latihan (bola sepak) dapat dijalankan secara penuh dan boleh memastikan tahap persediaan mereka lebih berkesan dalam menghadapi kejohanan itu,” katanya.

Skuad B-19 negara diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014, Qatar selain Tajikistan dan Yaman pada pusingan akhir Kejohanan B-19 dan kini sedang menjalani latihan bermula 6 hingga 26 Julai.

Reezal bakal membentangkan cadangan kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang dipengerusikan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada esok untuk latihan secara kontak penuh dengan harapan untuk Liga Malaysia dan kejohanan sukan lain dapat dimulakan dalam masa terdekat. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!