Tiada perbarisan Hari Kebangsaan setakat ini: Ismail Sabri

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto: Bernama
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tidak ada acara perbarisan atau perhimpunan dijadualkan berlangsung bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan setakat ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini disebabkan acara perbarisan Hari Kebangsaan adalah berskala besar dan melibatkan beribu peserta.

“Dan yang kedua jarakkan sosial tidak ada sewaktu perbarisan. Bukan sahaja peserta perbarisan tetapi juga penonton,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Beliau berkata, jarakkan sosial dalam kalangan penonton yang berada di kerusi orang kenamaan (VVIP) dan tempat yang dikhaskan mungkin mudah untuk dikawal namun kehadiran orang ramai untuk menyaksikan acara itu sukar diawasi.

Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, sambutan Merdeka bukan hanya melibatkan perarakan sahaja tetapi terdapat pelbagai program lain seperti pelancaran Bulan Kemerdekaan, Kempen Kibar Jalur Gemilang dan acara ambang Merdeka.

Beliau percaya perincian mengenai sambutan Hari Kebangsaan akan diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, orang ramai tidak perlu lagi menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari bagi mereka dari Semenanjung yang ingin ke Sabah atau Sarawak.

Katanya, rakyat kini bebas bergerak ke seluruh negara tanpa perlu menjalani kuarantin kerana keadaan penyakit koronavirus (Covid-19) di negeri seperti Sabah dan Sarawak adalah terkawal.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun apabila mereka tiba di lapangan terbang mungkin mereka akan disaring secara rawak,” katanya.

Ditanya mengenai warga asing di luar negara yang ingin melawat pasangan yang sakit di Malaysia, Ismail Sabri berkata, mereka boleh berbuat demikian dengan syarat mengemukakan bukti daripada hospital mengenai keadaan pasangan.

“Kalau yang memegang visa pasangan mereka terus boleh masuk ke negara kita. Kalau mereka tidak mempunyai visa pasangan, mereka masih boleh memohon ke Jabatan Imigresen kalau ada kematian atau sakit.

“Hanya perlu kemukakan bukti kalau isteri (atau suami) sakit, ada bukti dari hospital yang mengatakan isteri (atau suami) benar-benar dirawat dan dalam keadaan kritikal dan saya rasa tiada isu pasangan warga kita terutamanya di Singapura untuk pulang ke Malaysia kerana pasangan mereka sakit,” katanya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan seorang suami warga Singapura merayu kepada Putrajaya supaya membenarkannya masuk ke Malaysia untuk menemui isterinya yang kini uzur.

Pasangan itu terpisah selepas pihak berkuasa di kedua-dua belah tambak Johor melarang perjalanan keluar masuk antara kedua-dua negara untuk mengekang wabak Covid-19. - Bernama