'Kita ada 1 juta ahli PKR, yang keluar sangat sedikit'

 Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan beberapa bekas pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar parti sebelum ini didakwa tidak melemahkan parti itu sebaliknya jumlah pendaftaran ranting di peringkat cabang semakin bertambah.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bilangan mereka yang mengumumkan keluar daripada parti tersebut sangat sedikit berbanding jumlah ahli berdaftar di seluruh negara yang kini berjumlah hampir 1 juta orang.

Menurutnya, pihaknya mengakui realiti bahawa beberapa tokoh pemimpin tertinggi parti itu termasuk bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin sudah keluar parti.

“PKR tak lemah, keanggotaan kita hampir 1 juta orang, yang keluar ini bilangannya sangat sedikit dan selama ini menjadi duri dalam daging.

“Jadi bagi kita lagi bagus mereka keluar dan dengan ini parti dapat bergerak ke depan. PKR masih mempunyai pemimpin di peringkat wakil rakyat, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), peringkat pimpinan dari Perlis sampai ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Wacana Sinar Harian ke-178 bertajuk Speaker: Antara Perlembagaan atau Kelangsungan Parti di Kumpulan Karangkraf di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, setakat ini tidak akan ada lagi pemimpin PKR dijangka keluar parti selepas ini.

“Saya fikir tidak ada yang akan keluar setakat ini, kebanyakannya dah keluar. Bagi kita ini bukan soal pemilihan, ini soal pengkhianatan yang berlaku di Sheraton. Sama ada mereka sokong Azmin, Anwar, Rafizi dan sebagainya itu pada waktu pemilihan dan ia cerita lama.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi sejauh mana mereka setia pada perjuangan reformasi bermula dari 'Langkah Sheraton' hingga hari ini itu yang menjadi kayu pengukur untuk kita bergerak ke depan dan meninjau komitmen,” katanya.

Pimpinan PKR katanya, ketika ini tidak memburu atau ingin mencari salah sesiapa sebaliknya bergerak ke depan memantapkan parti dan merapatkan saf pimpinan.

Dalam pada itu Nik Nazmi berkata, mereka yang berulang kali membuat sidang akhbar mengumumkan keluar parti itu digambarkan sebagai watak ‘gila talak’.

“Ada sesetengah tokoh yang buat sidang akhbar tiga ke empat kali dan setiap tahun kata keluar parti.

“Itu watak gila talak, bagi kita parti terus berkembang, ranting juga semakin bertambah di seluruh negara,” katanya.