Syed Saddiq dipelawa sertai Amanah

Gambar kanan: syed saddiq
Gambar kanan: syed saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mempelawa bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ahli-ahli yang lain untuk menyertai parti mereka.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihaknya optimis penyertaan Syed Saddiq bakal merancakkan lagi dinamika gerakan anak muda dalam arena politik tanah air.

“Susulan pemecatan Ahli Parlimen Muar itu daripada Bersatu serta ramai anggota pimpinan Armada yang mungkin diketepikan, Pemuda Amanah ingin mengajak seluruhnya untuk bersama-sama berjuang dalam Amanah.

“Amanah bukanlah asing bagi Syed Saddiq dan rakan-rakan Armada kerana sejak menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga ke hari ini, Amanah terus bekerjasama dengan kumpulan Bersatu pro Tun Dr Mahathir Mohamad termasuklah Syed Saddiq,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Pemuda Amanah begitu terbuka untuk menerima penyertaan tokoh dan para aktivis anak muda ini dalam parti untuk bersama-sama memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin Mei lalu mengumumkan keahlian lima pemimpin Bersatu termasuk Syed Saddiq terhenti serta-merta kerana melanggar perlembagaan parti.

Empat yang lain ialah Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Sementara itu, Armada dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Naib Ketuanya, Mohd Aizad Roslan kini menerajui sayap Bersatu itu susulan pengguguran keahlian Syed Saddiq pada 28 Mei lalu.

Artikel Berkaitan: