Kabinet bayangan PH Johor senarai dua nama calon MB

Aminolhuda
Aminolhuda
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan mengenai calon Menteri Besar dan barisan Exco Kabinet bayangan Pakatan Harapan ( PH) Johor hanya akan diputuskan menerusi mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan PH.

Ketua Pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan berkata, Kabinet bayangan yang diwujudkan bagi memainkan peranan semak imbang terhadap kerajaan negeri pada masa kini itu turut menyenaraikan dua nama calon Menteri Besar.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor bagaimanapun enggan mendedahkan nama dan parti kedua-dua calon tersebut, biarpun terdapat desas-desus menyatakan beliau dan Ahli Parlimen Pulai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Datuk Salahuddin Ayub merupakan calon Menteri Besar Kabinet bayangan PH Johor.

"Selepas perbincangan dibuat dalam mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan PH, perkara berkaitan calon Menteri Besar dan barisan Exco Kabinet bayangan ini akan dibawa ke Majlis Pimpinan Presiden PH," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN) dan Parlimen, Aminolhuda berkata, pembahagian akan dibuat dengan mengambil kira beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( Bersatu) yang masih bersama PH.

Bagaimanapun, penyusunan semula struktur kepimpinan ahli jawatankuasa di semua peringkat di negeri Johor akan dilakukan berikutan Bersatu tidak lagi menjadi sebahagian daripada komponen PH.

"Apa yang jelas, terdapat beberapa pemimpin Bersatu di Johor yang masih menyokong PH. Mereka ialah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Tambah beliau lagi, Kabinet bayangan yang bakal diwujudkan merupakan petanda jelas PH Johor sudah bersedia menghadapi pilihan raya yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

"PH Johor juga akan memperkemaskan gerak kerja bersepadu melibatkan parti-parti komponen di peringkat akar umbi," katanya.