UMNO parti tak laku: Kenyataan menteri Bersatu biadab

Shahril Sufian
Shahril Sufian
A
A
A

SHAH ALAM - Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa untuk segera memperbetulkan keadaan susulan kenyataan angkuh ahlinya yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mengatakan parti UMNO tidak laku di Sabah.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, kenyataan tersebut yang tular di media sosial sama sekali tidak boleh diterima oleh pemimpin dan ahli UMNO seluruh negara.

Beliau berkata, kenyataan yang menyifatkan UMNO di Sabah sebagai tidak laku adalah satu kenyataan yang cukup biadab serta tidak mencerminkan realiti.

Menurutnya, UMNO tidak perlu menjustifikasi kekuatannya, malah keputusan-keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuklah di Kimanis sudah cukup sebagai bahan bukti bahawa parti itu bukan sekadar 'laku', malah dalam proses kebangkitan yang berterusan.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO parti tak laku: Abdul Latiff digesa letak jawatan

Katanya, persoalan yang timbul kini bukan sama ada UMNO 'laku' atau tidak tetapi mengapa seorang menteri berjawatan dalam Bersatu tergamak mencemuh seorang rakan kongsi besar dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini?

"Mengapa seorang menteri berjawatan dalam Bersatu mahu memperkecil parti yang menang 54 kerusi pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) termasuklah kerusi Mersing?

"Mengapa beliau tiada rasa segan silu setelah melompat meninggalkan kapal sewaktu susah, malah tidak langsung berterima kasih kepada jentera dan institusi yang memenangkan beliau di Mersing?" katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular di media sosial sebuah keratan video yang memaparkan kenyataan Abdul Latif dalam satu forum terbuka di mana beliau menyebut 'sekarang ini UMNO sudah tidak laku, maksud saya parti UMNO di Sabah kerana realitinya orang tidak yakin. Semua yang lompat juga sudah hijrah ke Bersatu.

Dalam pada itu, Shahril Sufian berkata, perlu diingatkan kerjasama antara parti yang membantu kerajaan hari ini adalah kerjasama yang baharu dan belum sempurna.

Katanya, jika mahu kerjasama itu bertambah kukuh, perlu ada keikhlasan serta sifat saling menghormati.

"Kenyataan Abdul Latiff tersebut hanya mengeruhkan situasi, sedangkan UMNO telah banyak berkorban setelah kejatuhan Pakatan Harapan dan sanggup meletak ego ke tepi demi kepentingan rakyat yang dianggap lebih besar dari kepentingan parti.

"Jangan uji kesabaran UMNO seolah-olah kami hanya penumpang yang boleh dicemuh sesedap rasa, sebaliknya Bersatu perlu juga memaparkan keikhlasan yang sama. Oleh itu, saya berharap pimpinan Bersatu boleh respon terhadap perkara ini dan segera memperbetulkan keadaan," katanya.

Menurutnya, beliau tidak akan masuk campur hal parti dalaman Bersatu, terserah kaedah apa yang mereka mahu laksanakan tetapi sesuatu perlu dibuat.

"Jika pimpinan Bersatu hanya diam seribu bahasa dan membiarkan perkara ini berlalu tanpa tindakan, maka UMNO tiada pilihan selain menganggap kenyataan menteri terlibat mewakili Bersatu dan bukan sekadar kesilapan besar seorang individu.

"Di saat itu, pimpinan Bersatu boleh congak sendiri apa potensi kesan jangka pendek dan panjang," katanya.