Mayat insiden runtuhan berjaya dibawa keluar selepas empat jam

No Image Caption
A
A
A

SUBANG JAYA - Mayat mangsa seorang buruh binaan warga Bangladesh yang terlibat dalam insiden lantai bangunan yang sedang dibina runtuh di Taman Hi-Tech Subang, di sini berjaya dikeluarkan.

Mangsa yang dikenali sebagai Kassim, 43, dikeluarkan selepas empat jam operasi menyelamat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Mayat mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 9.40 malam tadi.

Mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.44 petang, mangsa dikatakan sedang melakukan kerja pembinaan di bangunan terbabit.

Pasukan Bomba dan Penyelamat ketika mengeluarkan mangsa runtuhan lantai. - Foto Sinar Harian: MOHD IZARI ROSLI
Pasukan Bomba dan Penyelamat ketika mengeluarkan mangsa runtuhan lantai. - Foto Sinar Harian: MOHD IZARI ROSLI

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, lantai bangunan terbabit secara tiba-tiba runtuh menyebabkan mangsa terjatuh sebelum terperangkap.

"Mangsa terhempap dengan besi perancah dan bancuhan simen," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dan Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (Storm) dikejarkan ke lokasi kejadian.

[ARTIKEL BERKAITAN:Pekerja binaan maut lantai bangunan runtuh]

"Mangsa berjaya ditemui pada jam 5.42 petang sebelum berjaya dikeluarkan pada jam 9.40 malam," katanya.

Tambahnya, punca kejadian dipercayai disebabkan struktur lantai bangunan berketinggian 11 hingga 14 meter yang masih belum kukuh.

Difahamkan, bangunan berkenaan adalah pembinaan sebuah gudang.