Pemandu mabuk didenda RM2,500

Kam Fook (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Kam Fook (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu kereta dalam keadaan mabuk sehingga melanggar tembok batu di Desa Park City pada 29 Januari lalu.

Tertuduh, Wong Kam Fook, 57, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta Proton Saga dalam keadaan mabuk, di mana kandungan alkohol dalam badannya sebanyak 96 miligram (mg) di dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu melebihi had ditetapkan 80mg.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Intisari Desa Park City pada jam 12.05 tengah malam, 29 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 dan boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan serta lesen memandu percubaan dibatalkan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah Khazali memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar dia tidak mengulangi kesalahan yang sama di masa depan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah supaya dijatuhi hukuman yang minimum.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, polis menahan Kam Fook kerana disyaki memandu secara mabuk dan melanggar tembok batu Desa Park City.