Pencen penakat legakan balu mangsa bot terbalik

Rosni Wati (tiga dari kiri) bersama anak-anaknya menerima sumbangan daripada Perkeso dan Tabung Serambi Makkah yang disampaikan oleh Hanifa (tiga dari kanan) dan Nora (kiri) di rumahnya di Kampung Padang To’ La di sini hari ini.
Rosni Wati (tiga dari kiri) bersama anak-anaknya menerima sumbangan daripada Perkeso dan Tabung Serambi Makkah yang disampaikan oleh Hanifa (tiga dari kanan) dan Nora (kiri) di rumahnya di Kampung Padang To’ La di sini hari ini.
A
A
A

PASIR MAS - Balu kepada salah seorang mangsa bot terbalik di perairan Kemasin, Bachok akan memanfaatkan sepenuhnya pencen penakat berjumlah RM475 yang diterima setiap bulan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk kelangsungan hidup keluarganya.

Allahyarham Harun Daud, 57, merupakan salah seorang daripada lapan mangsa yang maut dalam tragedi bot terbalik di perairan Kemasin, Bachok pada 29 Jun lalu.

Rosni Wati Abdullah, 50, berkata, pencen itu akan digunakan bagi menyara dua anaknya yang masih bersekolah selepas dia mengambil keputusan untuk menutup gerai makan miliknya berhampiran stesen kereta sewa di bandar Pasir Mas.

“Gerai tersebut banyak menyimpan kenangan antara saya dan suami. Setiap kali melihat perkakasan memasak di gerai itu air mata saya akan gugur tanpa disedari.

ARTIKEL BERKAITAN: Korban keenam bot karam ditemukan

“Cinta dan sayang saya pada arwah suami tidak tertanggung. Jadi saya mengambil keputusan untuk menutup terus gerai tersebut kerana tidak sanggup untuk ‘mengungkit’ semula kenangan ketika kami bersama,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang To’ La di sini hari ini.

Terdahulu, Rosni Wati menerima kunjungan daripada Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob bersama rombongan yang turun padang menyampaikan sumbangan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000.

Pada masa yang sama, Rosni Wati turut menerima sumbangan dari Tabung Serambi Makkah yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir, Datuk Hanifa Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, keluarga berkenaan turut menerima sumbangan berjumlah RM1,000 daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang disampaikan oleh wakilnya.

Rosni Wati berkata, dia tidak menyangka suaminya masih lagi layak menerima bantuan walaupun sudah 20 tahun berhenti kerja di Kompleks Mengering dan Mengilang Padi pada tahun 2000.

Katanya, bagaimanapun dia akan terus bekerja dari rumah dengan menerima tempahan makanan untuk majlis jamuan atau sebagainya bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Hasil perkongsian hidup dengan Allhayarham, Rosni Wati dikurniakan empat anak berusia antara 27 hingga 12 tahun.

Dalam pada itu Nora berkata, beliau menggalakkan seluruh rakyat di negeri ini terutama yang bekerja sendiri supaya mencarum dengan Perkeso.

Menurutnya, Perkeso menyediakan pelbagai pakej dalam membela nasib pekerja.

“Datanglah ke Perkeso dan kami akan memberikan bantuan serta cadangan berkaitan dengan caruman sebagai bekalan ketika berdepan musibah,” katanya.