Bukti sokongan PPZ-MAIWP

Abdul Hakim (empat dari kanan) bergambar bersama wakil HKL, Affin Islamic Bank dan penerima pada majlis penyerahan sumbangan di lobi utama HKL semalam. Foto: Asril Aswandi Abdul Shukor
Abdul Hakim (empat dari kanan) bergambar bersama wakil HKL, Affin Islamic Bank dan penerima pada majlis penyerahan sumbangan di lobi utama HKL semalam. Foto: Asril Aswandi Abdul Shukor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi Khaira PPZ menyampaikan sumbangan wang tunai bernilai RM50,000 kepada 167 petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.

Simbolik penyerahan tanggungjawab sosial korporat bersama Affin Islamic Bank Berhad itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman kepada penerima terdiri daripada kakitangan HKL yang bertugas di sektor pembersihan dan penyediaan makanan hospital berkenaan.

Menurut Abdul Hakim, sumbangan itu sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berperang dalam memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19).

"Kami di PPZ-MAIWP cakna dengan masalah dialami golongan memerlukan dan diharapkan dengan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban dalam mendepani keadaan ekonomi yang sukar ini.

“Di kesempatan ini, saya menyeru kepada lebih banyak syarikat korporat dan individu untuk sama-sama tampil bersama Khaira-PPZ membantu mereka yang terkesan,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan itu di lobi utama HKL di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray dan Ketua Jabatan Penasihat Syariah Affin Islamic Bank Berhad, Mohd Faiz Rahim.

Abdul Hakim berkata, Khaira PPZ dengan bantuan pembayar zakat menyalurkan sumbangan kepada hampir 6,000 penerima Musaadah Khaira terdiri daripada peniaga dan golongan B40 yang terkesan penularan Covid-19.

“Dana wakallah hampir RM6 juta dikumpulkan dari lebih lima syarikat dan penyumbang lain bagi menyantuni golongan memerlukan ini.

Artikel Berkaitan:

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya, akan ada lagi siri-siri agihan lain melalui syarikat yang tampil menyalurkan dana,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penyediaan Makanan HKL, Nor Shahizan Anuar, 33, berterima kasih kepada PPZ-MAIWP kerana menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan.

“Sumbangan diberikan membuatkan saya rasa lebih dihargai. Walaupun kami bertugas di bahagian belakang, tapi kami tetap menyediakan makanan kepada pesakit Covid-19 dan petugas HKL.

“Kami turut rasakan bahang kesibukan mengendalikan kes Covid-19 melalui penyediaan makanan khas diet kepada pelbagai kategori pesakit dan masih belum bercuti sejak penularan pandemik ini," katanya.

Seorang lagi pembantu penyediaan makanan HKL, Nik Muhamad Aizuddin Nik Yahya, 30, berkata, sumbangan dapat memberikan semangat kepada petugas Covid-19.

“Covid-19 adalah perkara luar jangka menyebabkan kami sedikit sebanyak tidak terlepas menyerap tekanan dari kesibukan menguruskan pesakit termasuk penyusunan semula jadual kerja,” katanya.