Dua beradik didakwa kurung, pukul jurukimpal

Kedua beradik mengaku tidak bersalah kurung dan pukul seorang jurukimpal dalam kejadian di Kampung Bukit Gasing di sini 1 Julai lalu.
Kedua beradik mengaku tidak bersalah kurung dan pukul seorang jurukimpal dalam kejadian di Kampung Bukit Gasing di sini 1 Julai lalu.
A
A
A

MARANG - Tiga lelaki termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengurung dan memukul seorang jurukimpal 1 Julai lalu.

Kedua-dua beradik itu, Muhamad Hafizhu Zarawi, 33, dan Muhamad Azizu, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa mengurung dengan salah Ahmad Farid Mohammad, 28, dengan tujuan memaksa mangsa memulangkan wang tunai yang mungkin membawa pengembalian harta itu.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kereta Proton Wira Aeroback di hadapan sebuah rumah di Kampung Bukit Gasing di sini jam 6.20 pagi pada 1 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di alamat sama pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Mereka yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Shahir Mat Jusoh.

Rakan mereka berusia 26 tahun dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang jurukimpal maut dipercayai akibat dibelasah tiga lelaki di Kampung Bukit Gasing di sini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dikenali Ahmad Farid Mohammad, 28, dikatakan sempat menceritakan kepada ibunya, Zaleha Muda, 51, sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.