X

Kindly register in order to view this article
!

Jamal mohon batal saman fitnah Bee Yin

Jamal Md Yunos, Yeo Bee Yin
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman difailkan terhadapnya oleh bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili Bee Yin semasa mengesahkan perkara itu berkata, permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan defendan (Jamal) pada 25 Jun atas alasan saman itu terlalu awal kerana siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Mahkamah menetapkan 23 Julai bagi pendengaran permohonan membatalkan saman itu," katanya kepada media selepas pengurusan kes yang berlangsung di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusof.

Peguam itu berkata, hakim turut menetapkan 9 November untuk mendengar saman itu sekiranya mahkamah menolak permohonan untuk membatalkan saman itu.

Jamal diwakili peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad.

Pada 14 Jun, 2017, Bee Yin selaku plaintif memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal berhubung kenyataan memfitnah berkaitan dakwaan menyalahgunakan dana Yawas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Bee Yin yang merupakan Ahli Parlimen Bakri mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan itu telah diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.

Bee Yin mendakwa kenyataan Jamal antara lain memberi tanggapan yang beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am RM5 juta, Bee Yin juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus