Tujuh mangsa banjir dipindahkan

Keadaan sebuah rumah dinaiki banjir di Kampung Seri Sentosa di sini hari ini.
Keadaan sebuah rumah dinaiki banjir di Kampung Seri Sentosa di sini hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seramai tujuh mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfield ekoran kejadian banjir di Kampung Seri Sentosa di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Penolong Penguasa Bomba, Azrel Izaidi Ahamad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.20 malam tadi.

Menurutnya, seramai sembilan pegawai dan anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kita dapati paras air berada pada kedalaman kurang dua meter dan sebahagian penghuni telah keluar dari rumah masing-masing manakala sebahagian daripada mereka dibantu bomba dengan menggunakan bot," katanya kepada Sinar Harian.

Azrel Izaidi berkata, sehingga jam 7 pagi tadi banjir melanda Kampung Seri Sentosa belum kembali pulih sepenuhnya.

Terdahulu beliau berkata, pihaknya turut menerima maklumat kejadian banjir berlaku di Kampung Sri Aman, Sungai Buloh malam tadi.

Menurutnya, sebanyak tujuh rumah terlibat dalam kejadian banjir setinggi kira-kira 1.2 meter.

"Kita telah memastikan semua penghuni rumah berada di tempat selamat dan hasil pemantauan mendapati paras air beransur surut serta tiada pemindahan dilakukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi keseluruhannya tamat pada jam 1.26 pagi tadi.

"Pihak kami akan terus menjalankan pemantauan dari masa ke masa dan sehingga kini tiada kenaikan paras air berlaku di kawasan Parit Mahang," katanya.