Felda Serting Hilir Tiga lonjak hasil sawit lebih 200 peratus

Norshaiful (dua dari kanan) bersama barisan pemenang sempena Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2020 di MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak di Sungkai hari ini.
Norshaiful (dua dari kanan) bersama barisan pemenang sempena Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2020 di MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak di Sungkai hari ini.
A
A
A

SUNGKAI - Pematuhan sistem penjadualan dan pengawasan ladang yang ketat antara usaha dilakukan warga Felda Serting Hilir Tiga, Negeri Sembilan sehingga mampu melonjakkan hasil sawit lebih 200 peratus tahun lalu.

Kejayaan itu membolehkan tanah rancangan terbabit dinobatkan sebagai penerima Pencapaian Peningkatan Hasil Sawit Tertinggi Tahun 2019 sempena Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2020 di MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Ketua Peneroka, Norshaiful Sampol berkata, pada 2018, purata hasil diperoleh hanyalah sekitar 5.63 tan per hektar, namun jumlah itu meningkat kepada 17.95 tan per hektar pada 2019 dengan kadar kenaikan 218.65 peratus iaitu 12.31 tan.

Menurutnya, antara usaha dilakukan peneroka ialah melaksanakan penjadualan penuaian bagi setiap blok, memastikan penuaian dua pusingan setiap bulan serta melaksanakan pemantauan terhadap mutu kerja petugas ladang dan buruh.

"Tiada sebarang penggunaan teknologi, kita hanya menguruskan ladang 100 peratus secara manual menggunakan khidmat tenaga kerja dan berpandukan penjadualan ditetapkan pihak pengurusan.

"Dari segi keselamatan hasil pula, kita telah melantik biro ladang bagi setiap blok yang akan mengawasi setiap aktiviti di ladang bagi memastikan tiada berlaku penyelewengan atau kecurian hasil," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, kemenangan itu yang pertama sejak Felda Serting Hilir Tiga diwujudkan 32 tahun lalu.

"Pengiktirafan diberikan ini pastinya memberi semangat dan dorongan kepada semua 140 peneroka di Felda ini untuk terus berusaha lebih gigih agar memperoleh hasil lebih tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Felda Serting Hilir Tiga memperoleh hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pencapaian Peningkatan Hasil Getah Tertinggi Tahun 2019 pula dimenangi Felda Kepis juga dari Negeri Sembilan sementara Mustapa Ab Ilah iaitu peneroka Felda Bukit Bading, Wilayah Terengganu dinobatkan sebagai Anugerah Usahawan Jaya Felda Tahun 2019.

Dalam majlis sama, Felda Sahabat 3, Sabah diumum sebagai pemenang Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF).