X

Kindly register in order to view this article
!

Buat pisau hasil 'berguru' dengan YouTube

Lokman Nurhakim dalam proses menyiapkan pisau.
A
A

HULU TERENGGANU - Bermula dengan menonton cara pembuatan bilah pisau di YouTube secara suka-suka, siapa sangka seorang anak muda dari Kampung Kuala Menjing, Hulu Terengganu berjaya membina kerjaya dengan menghasilkan pisau jenamanya sendiri, LNH.

Lebih membanggakan, pisau yang dihasilkan Lokman Nurhakim Sukry, 21, bukan sahaja mendapat sambutan hangat dalam kalangan rakyat negara ini, tetapi turut mendapat permintaan dari Brunei, Thailand dan Korea.

Jelas Lokman Nurhakim, sebelum serius menghasilkan pisau, dia hanya bekerja kampung dan menjual durian di bandar Kuala Terengganu.

"Saya mula menceburi bidang ini sekitar dua tahun lepas. Minat itu datang selepas melihat cara pembuatan bilah pisau di YouTube secara tidak sengaja.

"Pada masa yang sama, saya cuba manfaatkan sisa arang memandangkan ayah saya Sukry Abdullah, 57, adalah pengusaha arang tradisional.

"Sisa arang ini masih lagi boleh digunakan, jadi saya manfaatkannya untuk pembakaran dan proses menghasilkan pisau," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kuala Menjing, Hulu Terengganu.

Menurutnya, selain pisau, dia juga menghasilkan golok sembelih, golok tulang, golok lasak, kapak tulang, pisau serbaguna dan pisau melapah.

Bagi menghasilkan pisau, dia menggunakan material 'planner blade' atau mata ketam, spring terpakai dan semua material 'high carbon steel' dan 'high speed steel' yang turut diimport dari Jerman dan Amerika Syarikat.

"Dalam sehari saya boleh hasilkan empat bilah pisau tapi bergantung pada jenis dan saiz bilah pisau. Golok misalnya ambil masa lima jam untuk disiapkan.

Lokman Nurhakim menyiapkan tempahan sedang menyiapkan pisau.
Lokman Nurhakim menyiapkan tempahan sedang menyiapkan pisau.

"Pisau yang dihasilkan dengan jenama LNH ini dijual antara RM80 hingga RM450. Syukur kerana tidak sangka dari sekadar suka-suka dan mencuba sesuatu yang baharu, ia kini menjadi punca pendapatan saya," katanya.

Bercerita tentang pasaran, Lokman Nurhakim berkata, pada mulanya pisau yang dihasilkan dijual kepada rakan-rakan dan dipromosikan di media sosial.

Daripada situ, dia mendapat tempahan dari seluruh negara dan turut menerima tempahan dari pelanggan luar negara seperti Brunei, Korea dan Thailand.

"Sehingga akhir tahun ini, saya menerima hampir 400 bilah tempahan. Tempahan untuk tahun ini sudah ditutup kerana terlalu banyak, lagipun saya membuatnya bersendirian. Tempahan berikutnya akan dibuka pada awal tahun depan," katanya.

Dia turut menitipkan nasihat kepada anak muda sebayanya agar mengetengahkan dan memanfaatkan minat masing-masing, selain tidak membazirkan masa muda dengan perkara sia-sia.

Lokman Nurhakim menyiapkan tempahan kapak yang diterimanya.
Lokman Nurhakim menyiapkan tempahan kapak yang diterimanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!