Johnny Depp bukan kaki pukul

Depp (kiri) dan bekas isterinya, Heard hadir pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi di tengah London, UK hari ini. - Foto: Agensi
Depp (kiri) dan bekas isterinya, Heard hadir pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi di tengah London, UK hari ini. - Foto: Agensi
A
A
A

LONDON - Tuduhan aktor terkenal Hollywood, Johnny Depp mengasari bekas isterinya yang juga pelakon, Amber Heard sememangnya satu pembohongan.

Perkara itu dinyatakan peguam Depp di Mahkamah Tinggi di tengah London, United Kingdom (UK) ketika perbicaraan hari ini selepas pelakon tersebut memfailkan saman ke atas News Group Newspapers (NGN) yang merupakan penerbit The Sun dan Editor Eksekutif, Dan Wootton berhubung artikel pada April 2018 yang merujuknya sebagai 'kaki pukul isteri'.

Sebelum ini, bintang filem siri Pirates of the Caribbean itu berulang kali menafikan tuduhan tersebut.

Peguamnya, David Sherbone berkata, artikel tersebut telah memfitnah anak guamnya yang turut menuduh pelakon itu melakukan serangan fizikal dan menyebabkan kecederaan yang serius terhadap Heard.

"Bekas isterinya yang sebenarnya bertindak sedemikian. Dalam situasi tertentu, Depp terpaksa mempertahankan dirinya daripada tindakan ganas wanita itu. Beliau bukan kaki pukul isteri dan tidak pernah bertindak sebegitu," ujarnya.

Menurutnya lagi, Heard seorang individu yang kompleks dan mengalami perubahan emosi melampau.

"Dia mengambil beberapa jenis ubat. Dia suka mencari perhatian dan sangat sukar diramal termasuk mempunyai hubungan dengan lelaki lain," tambahnya.

Difahamkan, Heard mendakwa serangan itu berlaku antara awal 2013 dan Mei 2016 sebelum pasangan itu berpisah pada 2017.

Artikel Berkaitan:

Depp dan Heard bertemu di set penggambaran filem The Rum Diary pada 2011 dan berkahwin pada Februari 2015.

Perbicaraan kes itu terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19 dan pendengaran kes tersebut dijadualkan berlangsung selama 15 hari.

Bekas pasangan Depp termasuk penyanyi warga Perancis, Vanessa Paradis dan aktres, Winona Ryder dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan itu. - AFP