Dr Mahathir berucap di IAACA

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) bertemakan '15 Tahun Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah, Pencapaian dan Prospek' di Pusat Antarabangsa Vienna (VIC) pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) bertemakan '15 Tahun Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah, Pencapaian dan Prospek' di Pusat Antarabangsa Vienna (VIC) pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

VIENNA - Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menyarankan penubuhan sebuah tabung bagi melindungi para petugas agensi anti-rasuah bila beliau menyampaikan ucaptama di Persidangan Tahunan dan Mesyuarat Agung ke-10 Pertubuhan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) yang bermula di sini pada Selasa.

Perdana Menteri Malaysia, yang dalam lawatan kerja tiga hari ke Austria sejak Ahad, dijangka mencadangkan tabung itu diberi nama Tabung Pejuang Anti-Rasuah.

Beliau akan bercakap mengenai tema ‘15 Tahun Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Menentang Rasuah, Pencapaian dan Prospek’ di Vienna International Centre (VIC) di sini.

Perdana Menteri juga dijangka menggesa IAACA memainkan peranan lebih luas dan universal, sebagaimana Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) dan Interpol.

Persidangan tiga hari itu menghimpunkan tokoh-tokoh politik, termasuk ketua-ketua kerajaan dan agensi anti-rasuah untuk bertukar-tukar pandangan tentang usaha memajukan langkah bagi menyekat dan membendung rasuah, menyokong kerjasama dan bantuan teknikal antarabangsa di samping menggalakkan integriti, akauntabiliti dan pengurusan cekap hal ehwal awam.

IAACA, sebuah badan bukan kerajaan 77 anggota yang berpangkalan di Qatar, ditubuhkan dengan matlamat bagi menggalakkan pelaksanaan secara berkesan Konvensyen PBB Menentang Rasuah dan membantu pihak berkuasa anti-rasuah dalam usaha global menentang rasuah.

Turut hadir di mesyuarat itu Peguam Negara Qatar Dr Ali Fetais Al Marri, yang menjadi presiden IAACA pada 2016, dan naib-presiden Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang juga ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) Malaysia.

Mesyuarat IAACA itu merupakan platform ideal untuk Dr Mahathir menampilkan langkah dan komitmen kerajaan Malaysia dalam usaha menentang rasuah dengan matlamat memaparkan imej positif Malaysia sebagai sebuah negara yang mendukung kuat pelaksanaan undang-undang, integriti dan akauntabiliti.

Artikel Berkaitan:

Ucaptama itu menandakan kemunculan kali pertama Dr Mahathir di VIC dan yang pertama seorang perdana menteri Malaysia diundang ke acara penting itu. - Bernama